'Penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut Kristian di Sarawak dibolehkan'

Anwar semasa sidang media pada majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani, Masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia Peringkat Parlimen Tangga Batu di Tanjung Minyak hari ini. - Foto Astro AWANI
Anwar semasa sidang media pada majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani, Masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia Peringkat Parlimen Tangga Batu di Tanjung Minyak hari ini. - Foto Astro AWANI
A
A
A

AYER KEROH - Penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut agama Kristian dalam penerbitan bahan agama mereka hanya boleh diguna pakai khusus bagi negeri Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana negeri itu tidak terikat dengan keputusan negeri-negeri lain.

“Ini khusus dalam kes Sarawak (kerana) kita faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan-keputusan negeri, dia tidak boleh terpakai untuk di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor.

“(Kes) ini hanya khusus untuk kes Sarawak yang sudah kita kalah dalam kes awal, kerana di Sarawak memang diputuskan oleh negeri begitu rupa,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga Tanjung Minyak, Melaka, hari ini. 


Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. 


Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran. 


Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. 


Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah ALLAH. 


Beliau dalam sidang medianya pada Selasa memaklumkan keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia adah disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran. 


Jelasnya, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah ALLAH. - Awani