Polis Johor tumpas sindiket pemburuan haiwan eksotik

Antara haiwan eksotik yang dirampas polis dan pihak perhilitan dalam dua operasi berasingan di daerah Mersing dan Kluang, semalam.
Antara haiwan eksotik yang dirampas polis dan pihak perhilitan dalam dua operasi berasingan di daerah Mersing dan Kluang, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam dua operasi berasingan kerana memburu haiwan eksotik serta menggunakan senjata api secara haram di Mersing dan Kluang semalam.

Operasi pertama dilakukan pada jam 1.30 pagi di tepi Sungai Lenggor, Jamaluang, Mersing oleh sepasukan pegawai serta anggota penguat kuasa Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhilitan Negeri Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi operasi tersebut pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 47 tahun kerana memburu haiwan liar serta dilindungi.

"Kita merampas dua bahagian daging babi hutan, satu trofi duri landak, dua laras senapang buatan sendiri, tiga butir peluru penabur 12 bore, tiga bilah parang dan satu kenderaan jenis Mistubishi Triton.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ibrahim murka pemburuan haram di Johor

"Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos bersabit kesalahan di bawah Akta Permuliharan Hidupan Liar 2010 dan Akta Senjata Api 1960," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menerusi operasi kedua pula katanya, adalah berdasarkan maklumat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dilakukan pada jam 10 malam tadi melibatkan beberapa lokasi di Kluang.

Artikel Berkaitan:

Antara senjata api yang dirampas pihak polis dan perhilitan selepas digunakan untuk memburu haiwan eksotik di daerah Mersing dan Kluang, semalam.
Antara senjata api yang dirampas pihak polis dan perhilitan selepas digunakan untuk memburu haiwan eksotik di daerah Mersing dan Kluang, semalam.

Katanya, operasi tersebut melibatkan anggota Bahagian Siasatan Khas D9, IPK Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 44 hingga 53 tahun.

"Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini bersabit kesalahan di bawah Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 dan Akta Senjata 1960," katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya merampas 54 daging babi hutan, 17 bahagian disyaki daging ayam hutan, 10 bahagian daging burung Puchong, enam bahagian daging kijang dan dua kepala kijang.

Tambahnya, turut dirampas selaras senapang patah, 270 butir peluru penabur senapang patah pelbagai jenama, satu kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dan satu buku lesen senjata api.

"Setakat ini kita mendapat maklumat daging-daging haiwan eksotik ini dibekalkan ke restoran-restoran di daerah Kluang dan kawasan lain, ada juga dieksport ke luar negara. Dianggarkan RM1,000 untuk satu mangkuk eksotik seperti daging harimau," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin terdapat aktiviti pemburuan haram haiwan eksotik turut berlaku di tempat lain dan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan) bagi membanteras kegiatan itu.

Sinar Online semalam melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Sultan Ibrahim bertitah, baginda sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram dan berasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan dilakukan.