Kelantan cadang kenakan cukai pemasangan kabel utiliti

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bercadang mengenakan cukai ke atas mana-mana kabel atau paip utiliti yang ditanam di atas tanah atau di laut supaya kerajaan dapat menambah hasil negeri pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, bukan itu sahaja tetapi beberapa cadangan lagi yang boleh membantu untuk menambah sumber hasil negeri terutama melibatkan persempadanan semula kategori tanah.

"Selain itu, kerajaan juga akan mempercepatkan proses pemilikan tanah terutama kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan segala bentuk struktur dan utiliti contohnya pencawang dan menara," katanya sebagai menjawab soalan tambahan yang diajukan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Soalan tersebut mengenai cadangan jika kerajaan negeri tidak mahu mengenakan apa-apa caj atau cukai kepada kabel-kabel utiliti yang menggunakan tanah-tanah kerajaan kerana ia diyakini dapat membantu kerajaan menambah sumber hasil negeri.

Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Alwi sekali lagi menegaskan, pemetaan tersebut perlu dilakukan memandangkan ia bakal memberi satu fenomena baharu kepada pengkhususan tersebut, selain dapat membantu kantung negeri.

"Kalau tidak buat pemetaan, rugilah sebab syarikat ini untung besar, daripada dikenakan cukai-cukai kecil kepada rakyat, baik kenakan kepada mereka yang untung banyak ini. Mungkin kita boleh kenakan caj 'one off' atau bayar tiap-tiap tahun dan sebagainya.

"Saya juga mahu cadangkan cukai untuk penggunaan di ruang udara, mereka perlu pasang tiang dan sebagainya. Maka kalau ia boleh tambah hasil negeri, apa salahnya. Saya tahu negeri-negeri lain juga sedang lakukan pemetaan yang sama dan apa salahnya kalau kita jadi contoh kepada negeri-negeri lain," katanya.

Artikel Berkaitan: