'Gelombang keluar Bersatu dijangka merebak ke seluruh negara'

Tindakan Dr Mahathir menubuhkan arti baharu memberi impak kepada Bersatu yang diterajui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tindakan Dr Mahathir menubuhkan arti baharu memberi impak kepada Bersatu yang diterajui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas Selangor, gelombang pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada parti itu dijangka akan merebak ke beberapa negeri lain sehingga meliputi seluruh negara.

Ketua Bahagian Bersatu Bangi, Mohd Sufian Mat Yunus yang turut mengumumkan keluar Bersatu hari ini berkata, gelombang keluar parti itu tidak akan berakhir dengan mudah, sebaliknya akan berlaku secara berterusan.

“Gelombang ini akan berlaku secara berperingkat di beberapa negeri. Antaranya di Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Perak.

"Tindakan keluar parti ini kerana mereka tidak berpuas hati. Ia juga kerana prinsip,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Sufian berkata, beliau percaya majoriti mereka yang mengumumkan keluar Bersatu ketika ini adalah disebabkan berasa parti itu sudah tergelincir daripada landasan perjuangan sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kadir Jasin umum keluar Bersatu

Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN

“Kita memang sayang pada Bersatu tetapi bukan dalam keadaan sekarang ini. Ini satu tamparan (buat Bersatu),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa Khamis lalu.

Hari ini, seorang lagi anggota MPT Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Ulya Aqamah yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada) turut melepaskan semua jawatan di peringkat nasional dan di bahagian Pokok Sena.

Di Langkawi pula, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Langkawi, Shukor Bahari mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Turut sama meletakkan jawatan dan keluar parti ialah 22 daripada 25 ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Langkawi. Susulan pengumuman itu, sebanyak 16 cawangan Bersatu Bahagian Langkawi melibatkan lebih 4,900 ahli turut terbubar secara automatik.

Tindakan keluar parti oleh ahli-ahli Bersatu tercetus selepas bekas Pengerusi Bersatu juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu berasaskan Melayu Jumaat lalu.