X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN

Sidang media Dr Mahathir di Yayasan Al Bukhary di sini sebentar tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan sebuah lagi parti Melayu baharu.

Dr Mahathir berkata, beliau dilantik sebagai Pengerusi parti itu manakala Datuk Seri Muhkriz Mahathir pula sebagai Presiden.

"Parti baharu ini akan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) secepat mungkin.

"Bagaimanapun kita belum tentukan nama parti itu lagi. Seperti biasa kita akan rujuk kepada RoS dan harap RoS tak akan halang nama yang dipilih," katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary di sini sebentar tadi.

Sidang akhbar itu turut hadiri Mukhriz yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, parti baharu itu tidak terikat dengan mana-mana parti campuran iaitu tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak juga dengan Perikatan Nasional (PN).

"Kami sedar Malaysia sudah ada banyak parti politik terutama dalam kalangan orang Melayu. Bukanlah niat kami untuk menambah kepada bilangan yang sudah ada tetapi kami menghadapi masalah luar biasa.

"Parti politik yang kami tubuh iaitu Bersatu dengan tujuan menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Datuk Seri Najib Tun Razak telah di'hijack' oleh Presiden Bersatu," katanya.

Menurutnya, ekoran itu kini perjuangan parti sudah dialih dari menentang dan menghapuskan kerajaan kleptokrasi kepada bekerjasama dan menghidupkan semula kerajaan kleptokrasi.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, masih ada sebahagian yang masih memegang kepada perjuangan asal, namun mereka tidak akan dicalonkan oleh parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Untuk kami teruskan perjuangan asal kami, terpaksalah kami bebas diri atau menjadi ahli parti yang baharu.

"Adalah diharap ahli biasa yang dipilih untuk bersama kami akan menjadi ahli dalam parti baharu ini. Perjuangan kami berasaskan semangat, bukan duit," katanya.

Beliau menegaskan, parti itu akan berasaskan kepada perjuangan untuk orang Melayu dan pribumi kerana parti berasas kepada Melayu dan pribumi yang wujud hari ini telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.

Katanya, di dalam kegilaan mahu kekal berkuasa, perjuangan parti sedia ada itu adalah untuk menjaga kepentingan elit demi memastikan sokongan tidak hilang dan dapat kekal berkuasa.

Justeru Dr Mahathir berkata, parti baharu yang ditubuh itu akan bersifat inklusif dan moderat serta akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip.

"Dengan ini kami juga akan pastikan yang rakyat Malaysia dari kaum-kaum yang lain juga akan mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya.

"Parti ini juga bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sifat khianat, menipu, membohong, rasuah dan tamak akibat perbuatan pemimpin parti-parti Melayu yang lain.

"Mereka telah menjadikan agama dan bangsa modal untuk mendapatkan sokongan sedangkan tindak tanduk dan perbuatan mereka melanggar ajaran agama dan bertentangan dengan nilai bangsa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, parti baharu itu juga mahu mengembalikan kehormatan negara sebagai Harimau Asia.

"Asas perjuangan kami masih untuk menghapus rasuah dan kleptokrasi. Ahli hendaklah berpegang kepada perjuangan ini.

"Tidak ada jaminan bagi sesiapa untuk jawatan tertentu dalam parti atau dalam kerajaan," katanya.

Katanya, satu jawatankuasa disiplin akan ditubuh untuk menentukan undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan dalam parti baharu berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!