KKMM usaha kerjasama swasta bendung penipuan dalam talian

Zahidi Zainul Abidin. Foto: Bernama
Zahidi Zainul Abidin. Foto: Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang giat memperhalusi usaha kerjasama dengan syarikat swasta tempatan bagi menangani sebarang penipuan urusan transaksi pembelian dalam talian.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, buat masa ini, kementerian sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat pembekal perlindungan data peribadi tempatan bagi merealisasikan kerjasama itu dengan memperkenalkan kaedah perkhidmatan fee payment gateway bagi urusan pembelian dalam talian.

“Perkhidmatan berkemungkinan akan dikenakan sedikit bayaran... fi yang bakal dikenakan ke atas pengguna amat sedikit, contohnya melalui pembelian dalam talian sebanyak RM1,000, namun bayaran yang dikenakan mungkin dalam lingkungan 0.02 peratus atau 20 sen sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Wanita Pulau Pinang Going Digital di sini hari ini.

Menurut beliau, jika perkara itu direalisasikan, syarikat swasta terlibat akan menyediakan perkhidmatan keselamatan siber yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi bagi tujuan melindungi data peribadi pengguna.

Langkah kerjasama ini dilihat mampu mengekang kes penipuan secara dalam talian di samping dapat mengawal sebarang pencerobohan data dan maklumat peribadi pengguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, katanya.

Mengenai penyebaran berita palsu, beliau berkata, sehingga kini jumlah kertas siasatan yang dibuka bagi kes berkenaan kekal sebanyak 266 dengan 30 daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

"Langkah proaktif kementerian menyediakan portal Sebenarnya.my dan pasukan gerak pantas berjaya menyebarkan maklumat benar dan sahih kepada masyarakat dan ia sedikit sebanyak dapat mengekang penyebaran berita palsu," katanya.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia kini mencapai angka 26.69 juta pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Peningkatan penggunaan internet dalam kalangan rakyat telah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 juta berbanding 2019 iaitu 23.59 juta orang,” katanya menambah penggunaan internet dalam kalangan pengguna meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan juga sedang meningkatkan inisiatif dalam meningkatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan menaik taraf perkhidmatan jalur lebar seperti 5G,” katanya. -Bernama