Kindness Malaysia wujudkan 'Bank Makanan Bergerak'

Mohd Azrul (kiri) bersama van bank makanan bergerak bagi memudahkan penyaluran makanan kepada masyarakat kurang berkemampuan sekitar Kedah dan Perlis.
Mohd Azrul (kiri) bersama van bank makanan bergerak bagi memudahkan penyaluran makanan kepada masyarakat kurang berkemampuan sekitar Kedah dan Perlis.
A
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO), Kindness Malaysia mengambil inisiatif mewujudkan 'Mobile Food Bank' (Bank Makanan Bergerak) bagi memudahkan penyaluran makanan kepada masyarakat kurang berkemampuan.

Pengerusi Kindness Malaysia, Mohd Azrul Mohd Razak berkata, inisiatif itu tercetus selepas pihaknya menerima maklumat ada penerima menghadapi kesukaran untuk mengambil bantuan semasa pelaksanaan pasar percuma oleh Kindness Malaysia disebabkan tiada kenderaan.

Menurutnya, sebuah van yang telah diubahsuai dengan kos hampir RM15,000 digunakan sebagai 'Bank Makanan Bergerak' untuk menyalurkan bantuan makanan kepada golongan sasar.

"Sebelum ini, kami menerima sumbangan kereta daripada seorang ahli perniagaan. sebelum beliau mencadangkan supaya kami menjual kenderaan itu dan membeli van ini menggunakan wang hasil jualan kereta.

"Kami menggunakan van berkenaan sebagai 'camper van' untuk tempat pelindungan golongan gelandangan sebelum diubahsuai menjadi bank makanan bergerak dengan kos hampir RM15,000," katanya.

Mohd Azrul berkata, lebih 20,000 keluarga telah menerima manfaat melalui bank makanan bergerak dengan menerima bantuan bekalan makanan seperti minyak, sayur-sayuran, roti, tepung dan buah-buahan.

"Kita tidak meletakkan syarat, mengenakan caj ataupun menetapkan jumlah penerima, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja memerlukan bantuan bekalan datang mengambilnya selagi masih ada," katanya.

Beliau berkata, van 'Bank Makanan Bergerak' itu biasanya bergerak pada hari Jumaat dan Sabtu ke kawasan-kawasan tertentu yang memiliki golongan tidak berkemampuan di Kedah dan Perlis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini seramai tiga ahli Kindness Malaysia menguruskan bank makanan bergerak seperti membawa van, mengambil barangan di pasar raya dan menghantar makanan.

"Kami berharap bank makanan bergerak dapat diwujudkan di setiap negeri memandangkan masih ada golongan kurang bernasib baik dan memerlukan.

"Mana-mana pihak berhasrat memberi sumbangan boleh melakukannya dengan menghubungi Kindness Malaysia di laman rasmi Facebook, Kindness Malaysia atau talian di 012-4227690," katanya.