Pasukan Mobile Legends negara terlepas emas

Barisan pemain skuad Mobile Legends terlepas pingat emas Sukan SEA 2023 selepas tewas kepada Filipina pada perlawanan akhir pada Ahad.
Barisan pemain skuad Mobile Legends terlepas pingat emas Sukan SEA 2023 selepas tewas kepada Filipina pada perlawanan akhir pada Ahad.
A
A
A

KEMENANGAN berterusan pasukan lelaki kebangsaan Mobile Legends: Bang Bang dalam Sukan SEA 2023 berakhir apabila mereka kecundang dalam pusingan akhir pada Ahad.

Dibarisi Idreen Abdul Jamal (Momo); Mohamad Zul Hisham Mohd Noor (Xarn); Mohammad Irwandy Lim (Izanami); Muhammad Danial Mohamad Fuad (CikguGais) dan Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi) - pasukan negara tewas kepada Filipina, 0-3, sekali gus membawa pulang perak dalam acara yang diadakan di Naga World 2.

Ia adalah kekalahan kali pertama pasukan itu selepas mereka merekodkan empat kemenangan dalam peringkat kumpulan dan kemenangan ke atas tuan rumah Kemboja, 2-1 dalam separuh akhir sebelum mara ke pusingan akhir.

Meskipun gagal meraih emas, pengurus pasukan kebangsaan Andrew Cheong memuji para pemain memandangkan mereka hanya mempunyai seminggu untuk membuat persiapan bagi temasya itu, selepas beraksi bagi pasukan masing-masing dalam Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL)

"Persiapan pun tidak seberapa, lebih-lebih lagi untuk cari keserasian. Kali ini kami senaraikan kombinasi pemain daripada beberapa pasukan di MPL antaranya Todak dan HomeBois.

"Selepas liga MPL tamat, kesemua pemain hanya sempat berlatih selama seminggu di Majlis Sukan Negara (MSN) tapi ia masih pencapaian yang hebat,” katanya kepada Bernama.

Pasukan e-sukan Malaysia memenangi perak menerusi acara berpasukan campuran Attack Online 2 (AK2) pada 7 Mei, diikuti gangsa daripada pasukan wanita Mobile Legends: Bang Bang pada Khamis (11 Mei). - Bernama