X

Kindly register in order to view this article
!

80 peratus Bersatu Bahagian di Selangor dijangka keluar parti

Mohd Shaid (kanan) menurunkan papan logo Bersatu yang tertera di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di Puncak Bestari, hari ini.
A
A

PUNCAK ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mendedahkan kira-kira 80 peratus daripada 22 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri Selangor dijangka meninggalkan parti itu bermula hari ini.

Mohd Shaid berkata, selain Bersatu Bahagian Kuala Selangor, beliau dimaklumkan perkara sama akan dilakukan beberapa bahagian Bersatu di negeri ini dalam waktu terdekat.

"Saya dimaklumkan Bersatu Bahagian Klang akan membuat sidang media berhubung pengumuman keluar parti pada petang ini.

"Begitu juga dengan Bersatu bahagian lain bermula esok dan akan berterusan termasuk di negeri-negeri lain," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di Puncak Bestari di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Jeram umum keluar Bersatu

Ditanya berhubung pendirian dua lagi ADUN dari Bersatu iaitu ADUN Kuang, Salehuddin Amiruddin dan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar yang turut kelihatan pada pengumuman Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penubuhan parti baharu, Mohd Said berkata, kedua-duanya juga akan mengikut haluan sama.

"Saya dimaklumkan mereka juga akan turut serta dalam perjuangan ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Shaid berkata, keputusan keluar daripada Bersatu telah dibincangkan di peringkat bahagian lain di negeri ini selepas rata-rata mereka menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi meninggalkan Pakatan Harapan (PH) tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan perwakilan parti itu.

Katanya, Bersatu seharusnya mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) seperti mana dilakukan UMNO dan Pas yang mengambil pandangan ahli parti terlebih dahulu bagi membentuk Muafakat Nasional (MN).

"Sebaliknya ini tidak berlaku dalam Bersatu menyebabkan ahli akar umbi merasakan mereka tertipu kerana mereka menyertai parti untuk bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad melawan kleptokrasi.

"Namun, akhirnya kita bekerjasama dengan mereka (UMNO) serta tidak selari dengan cogan kata yang kita bawa dalam Bersatu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!