ADUN Jeram umum keluar Bersatu

Mohd Shaid (duduk, dua dari kiri) bersama jawatankuasa bahagian mengumumkan keluar Bersatu, serta merta.
Mohd Shaid (duduk, dua dari kiri) bersama jawatankuasa bahagian mengumumkan keluar Bersatu, serta merta.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan beliau bersama dua pertiga Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Selangor serta sebahagian besar 13 cawangan bahagian itu mengambil keputusan meninggalkan parti itu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Shaid berkata, beliau akan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas.

Bagaimanapun menurutnya, keberangkalian besar beliau dan pengikutnya akan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mendukung dasar Bersatu seperti mana di awal penubuhannya dulu.

"Sekarang ini (di Dewan Undangan Negeri), kita duduk di blok bebas dan akan menjadi timbang tara iaitu menyokong segala yang baik sama ada (di pihak) kerajaan atau pun pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di Puncak Bestari di sini hari ini.

Mohd Shaid berkata, keputusan meninggalkan Bersatu dilakukan bersama jawatankuasa bahagian itu dan ketua cawangan berikutan kemelut yang melanda parti berkenaan selepas penyingkiran Dr Mahathir.

"Kami merasakan perjuangan asal Bersatu tersasar daripada objektif asal penubuhannya iaitu untuk melawan sebuah kerajaan kleptokrasi selain sanggup menjalin kerjasama dengan individu yang ditolak rakyat pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu," katanya.

Malah beliau berkata, tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi salah satu punca menyebabkan kehilangan mandat rakyat pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

"Parti juga tidak mendapatkan pandangan akar umbi mahupun perwakilan sebelum mengadakan kerjasama dengan gabungan baharu kerana rata-rata ahli di bawah tidak dapat menerima keputusan yang dibuat hanya di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu," katanya.

Katanya, Bersatu juga sukar membentuk satu gabungan bersama dengan Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional (PN) kerana kesemua parti ditunjangi kaum Melayu.

"Maka kawasan untuk bertanding menjadi rebutan dan berlaku unsur mengkhianati antara satu sama lain," katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang ditubuhkan itu atas semangat Melayu dan akan bersifat inklusif dan moderat, berpegang pada janji, ikhlas serta berprinsip.

Dr Mahathir berkata, parti baharu ini akan mendukung dasar Bersatu seperti mana di awal penubuhannya dulu.