Malaysia sedia bantu hasilkan vaksin Covid-19

Muhyiddin (tengah) melancarkan Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor hari ini.
Muhyiddin (tengah) melancarkan Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor hari ini.
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Malaysia sedia membantu dalam usaha menghasilkan vaksin koronavirus (Covid-19) di peringkat antarabangsa melalui pasukan petugas rentas kementerian yang ditubuhkan pada April lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu bagi meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan ubat-ubatan Covid-19.

"Kerajaan sentiasa memantau situasi terkini wabak Covid-19. Saya difahamkan terdapat beberapa negara yang sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin. Sehubungan itu Malaysia sedia membantu dalam penghasilan vaksin ini.

"Namun besar kemungkinan ia akan mengambil sedikit masa lagi iaitu pada awal tahun 2021," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, Pekan Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Muhyiddin berkata, tidak dapat dinafikan bahawa trend peningkatan kes dan pertambahan kluster baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Beliau mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PKP) di rumah dalam kalangan sekumpulan kecil individu yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

"Tindakan melanggar perintah ini bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara-mara malah ia turut mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengenakan kuarantin wajib kepada mana-mana individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa," katanya.

Katanya, mereka ditempatkan di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa juga bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti setempat sekiranya terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak di kawasan tertentu.

Muhyiddin berkata, rakyat perlu menganggap diri mereka semua sebagai petugas barisan hadapan selain pematuhan kepada SOP yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

"Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada wujudnya kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita," katanya.

Beliau berkata, rakyat pastinya tidak mahu kerajaan melaksanakan semula PKP secara menyeluruh yang akan menyebabkan masalah lain termasuk mengganggu usaha memulihkan ekonomi negara.

Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, rakyat tidak boleh alpa dan SOP yang ditetapkan perlu terus patuhi termasuk kesedaran kawalan kendiri yang tinggi sama ada di tempat kerja, tempat awam, rumah ibadat mahupun di rumah.

"Saya menyeru agar pemimpin masyarakat, ketua agama, pemimpin NGO dan ahli jawatankuasa kariah surau dan masjid agar memainkan peranan masing-masing. Kita bersama-sama mengingatkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing agar mematuhi segala SOP dan peringatan mengenai wabak Covid-19," ujarnya.

Katanya, dengan kerjasama padu dan peranan kepimpinan masyarakat akan terus mampu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.