Piala Sudirman: Malaysia sedia hadapi India

Pemain beregu campuran, Goh Soon Huat (kanan) dan Shevon Lai menewaskan pasangan Australia dalam aksi pembukaan Piala Sudirman di China pada Ahad. - Foto Badminton Photo
Pemain beregu campuran, Goh Soon Huat (kanan) dan Shevon Lai menewaskan pasangan Australia dalam aksi pembukaan Piala Sudirman di China pada Ahad. - Foto Badminton Photo
A
A
A

SKUAD badminton negara bersedia sepenuhnya untuk turun menentang India dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Sudirman di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China pada Isnin.

Pengarah kejurulatihan beregu Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky bagaimanapun tidak mahu terlalu meletakkan tekanan kepada pemain biarpun sedar sekiranya menang ke atas India mampu untuk mengesahkan slot ke suku akhir.

"Untuk perlawanan esok (hari ini), semua pemain sudah bersedia. Siapa pun yang turun nanti bersedia untuk berjuang. Kami juga sudah mempunyai perancangan pemain yang akan diturunkan.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu fikir terlalu jauh dahulu dan melihat langkah demi langkah. Kami akan menilai game by game," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

India sememangnya bukan lawan yang mudah buat negara dengan terbaharu mengalahkan Malaysia 1-4 pada peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia di Dubai, Februari lalu.

Menurut Rexy, beliau mahu para pemain mengekalkan rentak kemenangan 5-0 yang dilakar ke atas Australia dan momentum positif itu dibawa untuk cuba menundukkan India.

"Semua pemain bermain dengan baik (menentang Australia). Kecuali K Letshanaa yang baru pulih daripada kecederaan dan sedikit perlahan hari ini.

"Namun, untuk perlawanan seterusnya saya yakin dia akan bermain lebih baik," katanya.

Selepas aksi menentang India, skuad badminton negara akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Taiwan pada Rabu.

Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah meletakkan sasaran separuh akhir kepada skuad negara pada edisi kali ini.