Kes gaduh geng tarik kereta: 13 individu direman

13 individu disyaki terlibat dalam pergaduhan dua kumpulan penarik kereta dibawa ke Kompleks Mahkamah di Tunjong hari ini.
13 individu disyaki terlibat dalam pergaduhan dua kumpulan penarik kereta dibawa ke Kompleks Mahkamah di Tunjong hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 13 individu termasuk dua wanita melibatkan dua kumpulan penarik kereta yang terbabit dalam pergaduhan ‘ala ninja’ direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kesemua berusia antara 20 hingga 37 tahun itu direman bermula hari ini.

“Seramai 11 orang daripadanya direman seminggu manakala dua lagi direman lima hari bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan seorang adik kepada ketua kumpulan penarik kereta cedera parah dengan 40 kesan tetakan seluruh badan dan putus tiga jari tangan kiri dalam kejadian pergaduhan ‘ala ninja’ membabitkan Geng Fuad dan Geng Khairul minggu lalu.

Mangsa berusia 32 tahun daripada ahli Geng Fuad diserang dengan kejam dipercayai menggunakan pedang samurai sebelum ditinggalkan dalam keadaan tenat di hadapan sebuah stor barangan besi buruk di Jalan Kampung Padang Enggang, Pasir Hor di sini pada jam 9.35 pagi, 30 Julai lalu.

Abdullah berkata, siasatan awal mendapati serangan bermotifkan dendam selepas berlaku satu serangan di sebuah rumah di Taman KUB Cendana, Jalan Pasir Puteh di sini pada jam 4.07 pagi, 28 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki putus tiga jari, ditetak 40 kali

Ekoran kejadian itu, seramai 19 individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan pergaduhan dua kumpulan penarik kereta yang terbabit dalam kejadian membakar kenderaan dan kes tetak.

Artikel Berkaitan:

Penahanan mereka yang berusia 20 hingga 37 tahun itu dibuat pada 30 Julai dan 5 Ogos membabitkan lapan suspek manakala 13 yang lain ditahan jam 7 pagi semalam di Pendang, Kedah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436, 427, 379A, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, khianat dengan api, mencuri kenderaan, menyebabkan kecederaan parah dan memiliki senjata dalam rusuhan.