Peguam Guan Eng akan terus buktikan anak guam tidak bersalah

Sidang media Lim Guan Eng di lobi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Sidang media Lim Guan Eng di lobi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam mewakili bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo menegaskan, beliau akan menegakkan kes anak guamnya dan membuktikan bahawa Guan Eng tidak bersalah berhubung dakwaan meminta suapan.

Guan Eng, didakwa atas pertuduhan itu bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Gobind Singh berkata, setakat ini kertas pertuduhan tidak menyatakan berapa jumlah suapan yang diminta dan tidak menjelaskan jumlah sebenar dan hanya menulis nilai 10 peratus.

"Jadi kita akan bawa kes ini dan membuktikan bahawa anak guam saya bebas rasuah, “ katanya kepada pemberita pada sidang media khas di lobi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: