X

Kindly register in order to view this article
!

Polis serbu pejabat Al Jazeera

Datuk Huzir Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Polis melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pejabat stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera di sini hari ini.

Selain Al Jazeera, pemeriksaan turut dijalankan di sebuah syarikat televisyen dan sebuah lagi syarikat media lain yang turut memaparkan dokumentari berjudul 'Locked Up in Malaysia's Lockdown'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pemeriksaan dijalankan selepas pihaknya menerima waran untuk melakukan penggeledahan dari Jabatan Peguam Negara.

"Pemeriksaan yang dijalankan merangkumi mengesan segala dokumen diperlukan serta rakaman atau bahan yang boleh membantu siasatan polis.

"Serbuan dijalankan tengah hari tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT). Ia masih berlangsung pada masa ini," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, seramai enam kakitangan stesen penyiaran Al Jazeera bersama tujuh peguam telah hadir ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan pada 10 Julai lalu.

Kesemua mereka tiba di Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada USJT Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Difahamkan, enam kakitangan itu terdiri daripada penerbit, editor, wartawan dan jurukamera serta mereka yang terbabit dalam menerbitkan dokumentari kontroversi berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!