Perkenal lebih banyak produk halal AS ke Malaysia

Jalel menyampaikan perkongsiannya ketika USDA 'American Modern Halal Experience' pada hari kedua penganjuran MIHAS 2026 di MITEC pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Jalel menyampaikan perkongsiannya ketika USDA 'American Modern Halal Experience' pada hari kedua penganjuran MIHAS 2026 di MITEC pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Organisasi pensijilan dan pengauditan halal terkemuka berpangkalan di Iowa, Amerika Syarikat (AS) iaitu Islamic Service of America (ISA) berhasrat memperkenalkan lebih banyak lagi rantaian produk pertanian, makanan dan minuman (F&B), bahan mentah serta farmaseutikal halal dari negara itu memasuki pasaran Malaysia.

Presidennya, Jalel Aossey berkata, ISA dan Islamic Food and Nutrition Council of America (Ifanca) serta America Halal Foundation (AHF) ialah tiga badan pensijilan halal dari AS yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Jalel, pihaknya percaya jalinan hubungan yang baik antara organisasi di AS dengan badan pensijilan seperti Jakim mampu menghasilkan impak dalam konteks menyemarakkan lagi sinergi industri halal.

"AS penyedia rantaian produk makanan terbesar dan dikenali seluruh dunia, ia sentiasa akan kekal begitu. Kami mahu membina jambatan melalui perkongsian produk makanan yang AS ada ke Malaysia.

"Bagi saya, hubungan yang baik bermula dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak sama seperti pengalaman pertama kali saya melawat Malaysia pada 1990. Saya belajar banyak perkara mengenai makanan Malaysia dan saya harap kita belajar tentang makanan AS juga.

"Jadi, saya harap produk makanan AS mampu mematuhi piawaian, pematuhan syariah serta standard halal Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara bertajuk 'American Modern Halal Experience' yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Khamis.

Hadir sama selaku panelis ialah Saintis Pemakanan dan Auditor Teknikal dari Ifanca, Dr Rafi Shaik: Pengurus Kualiti Bahagian Pensijilan Halal Islamic Society of the Washington Area (ISWA), Aly Ghanim; Wakil AHF, Ilyana Azis serta moderator dari United States Department of Agriculture (USDA), Abraham Inouye.

ISA ialah organisasi pensijilan dan pengauditan halal terkemuka berpangkalan di Iowa, AS sejak penubuhannya pada 1975.

Artikel Berkaitan:

Ia berperanan memberikan pensijilan, audit dan kesedaran mengenai produk halal untuk industri F&B, bahan mentah, farmaseutikal serta banyak lagi.

Produk yang memperoleh sijil halal ISA turut diakui di peringkat antarabangsa termasuk badan akreditasi dari negara Asia Barat dan Asia Tenggara.

USDA mempamerkan produk makanan dan pertanian berkualiti tinggi dari Amerika Syarikat (AS) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 dari 23 hingga 26 September ini.

Usaha itu sekali gus mengetengahkan keupayaan petani AS dalam memenuhi pematuhan ketat pensijilan halal Jakim serta kerjasama yang menyokong perdagangan halal antara AS-Malaysia.

Aktiviti utama USDA sepanjang penganjuran MIHAS 2026 antara lain demonstrasi masakan 'live' oleh cef selebriti Malaysia dan pencipta kandungan makanan, Sid Murshid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!