Didakwa minta habuan: Mahdzir terkejut, akui terkilan

 Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan kenyataan saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah bahawa beliau meminta habuan RM60 juta daripada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd dalam perbicaraan rasuah projek solar hibrid terhadap Datin Seri Rosmah Mansor semalam.

Mahdzir sekali lagi menafikan tuduhan tersebut seperti mana beliau dipanggil sebagai saksi dan memberi keterangan di mahkamah dalam kes sama sebelum ini.

"Saya terbaca laporan-laporan berita berkenaan keterangan salah seorang saksi kes Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Rayyan Radzwill Abdullah yang diberikan semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahdzir minta habuan untuk projek solar, kata saksi

"Saya terkejut dengan kenyataan saudara Rayyan tersebut. Jujur saya kongsikan yang saya terkilan dengan penulisan-penulisan yang saya baca.

"Rata-rata kelihatan seperti cubaan menjejaskan dan memburukkan imej dan reputasi saya di mata rakyat," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen hari ini.

Mahdzir berkata, beliau sedang berhubung dengan peguam untuk mendapatkan nasihat guaman dan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya untuk menjaga nama baik dan kepentingannya.

Namun menurutnya, beliau tidak boleh putuskan sebarang tindakan undang-undang lagi kerana tidak mengetahui apa dikatakan oleh Rayyan di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah minta peguam saya untuk memohon mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah sebelum saya komen dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini.

"Walaupun begitu, saya sarankan kepada orang ramai dan pengamal media untuk tidak membuat andaian dan tanggapan berdasarkan hanya daripada sumber yang terhad.

"Saya yakin fungsi mahkamah adalah untuk menentukan suatu fakta itu sah dan betul, berkenaan apa jua keterangan yang di berikan oleh mana-mana saksi di dalam perbicaraan," ujarnya.

Tambah beliau, semua pihak termasuk dirinya hendaklah menghormati fungsi tersebut dan tidak mendahului mahkamah dalam perkara tersebut.

Semalam saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Mahdzir ada meminta habuan atau upah selepas bersetuju menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi kelulusan projek solar hibrid melalui syarikat Jepak lima tahun lalu.

Rayyan yang merupakan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahdzir pada mulanya meminta 20 peratus (RM250 juta) upah daripada jumlah projek solar hibrid iaitu RM1.25 bilion, namun ia bukan secara langsung tetapi melalui orang tengah yang dikenali sebagai Md Fuad Yasin.

Rayyan dalam prosiding semalam berkata, pada mulanya bayaran yang diminta agak tinggi, namun hasil daripada perbincangan yang dilakukan ia dikurangkan kepada RM60 juta iaitu RM1 juta sebulan dan bayaran itu dibayar dalam tempoh 60 bulan atau lima tahun.