Mahdzir minta habuan untuk projek solar, kata saksi

Rayyan Radzwill hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid. - Foto Bernama
Rayyan Radzwill hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ada meminta habuan atau upah untuk dirinya.

Ia setelah Mahdzir bersetuju menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi kelulusan projek solar hibrid melalui syarikat Jepak, lima tahun lalu.

Rayyan yang merupakan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahdzir pada mulanya meminta 20 peratus (RM250 juta) upah daripada jumlah projek solar hibrid iaitu RM1.25 bilion, namun ia bukan secara langsung tetapi melalui orang tengah yang dikenali sebagai Md Fuad Yasin.

"Perbincangan bagi bayaran upah dibuat dalam satu perjumpaan yang dihadiri sendiri oleh Md Fuad bagi rundingan untuk menentukan jumlah bayaran berkenaan.

"Pada mulanya bayaran yang diminta agak tinggi. Jadi hasil daripada perbincangan yang dilakukan ia dikurangkan kepada RM60 juta iaitu sejuta sebulan dan bayaran itu dibayar dalam tempoh 60 bulan atau lima tahun," kata Rayyan dalam prosiding hari ini.

Rayyan berkata demikian selepas menjawab soalan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi gense/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam prosiding sama, Rayyan turut memberitahu mahkamah bahawa Setiausaha UMNO Pekan, Datuk Aazmey Abu Talib yang juga terlibat secara langsung dalam projek ketika itu memberitahu beliau ada menerima RM2 juta daripada Jepak Holdings.

Bagaimanapun, Rayyan memberitahu dia tidak mempunyai pengetahuan bagaimana cara pembayaran itu dibuat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Akberdin turut membangkitkan mengenai penglibatan individu penting yang ketika itu merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan iaitu Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang turut menandatangani surat SST tersebut.

Akberdin bertanya adakah saksi bersetuju bahawa Tan Sri Madinah ada membantu Jepak dalam projek itu, saksi itu bersetuju dengan cadangan soalan berkenaan.

Pada masa sama, Akberdin ada bertanya kepada saksi tersebut adakah dia pernah menganggu mana-mana pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk Madinah, namun saksi itu berkata, dia tidak pernah mengugut sesiapa.

"Selepas Pakatan Harapan (PH) menang, saya ada berhubung dengan Tan Sri Madinah dan tuduhan mengatakan saya membuat gangguan adalah tidak benar," katanya.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pembelaan diwakili peguam Akberdin.

Sebelum ini, Mahdzir yang merupakan saksi kelima pendakwaan menyangkal dakwaan bahawa beliau menerima habuan RM60 juta dan bersetuju memberikan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar itu kepada Jepak Holdings.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.