X

Kindly register in order to view this article
!

Pilihan raya Sabah boleh selesaikan kemelut politik

Mohd Shafie Apdal
A
A

KUALA LUMPUR - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan, adalah resolusi terbaik bagi menyelesaikan ketidaktentuan dan kemelut politik di negeri itu, demikian menurut penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata keputusan pilihan raya itu akan memberi petunjuk jelas mengenai sokongan rakyat terhadap pemimpin pilihan mereka.

“Walaupun pilihan raya akan diadakan dalam situasi penularan wabak COVID-19, namun ia harus berlangsung bagi menamatkan kemelut politik di Sabah, “ kata Anuar yang juga seorang penganalisis politik.

“Jika diambil kira krisis Sabah pada tahun 1994, apabila berlaku pembubaran DUN, kita dapati akan ada satu parti politik yang menang lebih besar...politik Malaysia amat dinamik. Ia boleh berubah dalam masa singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Politik Sabah: Mandat dan Hala Tuju’ yang disiarkan Bernama TV, malam tadi.

Senada dengan beliau, seorang lagi penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun berkata kebanyakan rakyat Sabah berpendapat bahawa keputusan pilihan raya yang melibatkan kira-kira 1.2 juta pengundi Sabah, bakal menjadi ukuran sokongan politik terbaik jika bersandarkan situasi politik yang sering berubah-ubah disebabkan oleh pembelotan dan lompat parti.

Beliau yang juga Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, yang berpusat di Singapura, berharap pilihan raya negeri kali ini dapat menampilkan calon-calon muda bagi menerajui kepimpinan negeri Sabah.

Bagaimanapun, seorang lagi penganalisis politik yang turut menjadi ahli panel program itu, Musram Rakunman berkata ramai rakyat Sabah berpendapat adalah tidak wajar mengadakan pilihan raya negeri ketika ini, kerana rakyat Sabah masih bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

“Kawan-kawan di kedai kopi cakap macam mana nak mengundi, mereka takut dengan Covid-19...rata-rata rakyat Sabah tidak berminat politik ketika ini. Mereka hanya mahu kerajaan menumpukan masalah ekonomi dan memerangi Covid-19,” kata Musram, seorang penulis dan juga penganalisis politik Sabah.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN yang akan menyaksikan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus