Dokumentari Al Jazeera: Polis ambil keterangan Md Rayhan

Laporan Sinar Harian berkaitan permohonan maaf warga Bangladesh Md Rayhan Kabir.
Laporan Sinar Harian berkaitan permohonan maaf warga Bangladesh Md Rayhan Kabir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah mengambil keterangan lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang muncul dalam sebuah dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ terbitan Al Jazeera baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman percakapan lelaki itu dibuat di Depot Tahanan Imigresen pada hari ini dan semalam.

"Siasatan kes ini sedang giat dijalankan dan rakaman percakapan Md Rayhan akan dibuat lagi jika perlu," katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Al Jazeera: Md Rayhan mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud pada 25 Julai dilaporkan berkata, lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: