X

Kindly register in order to view this article
!

Perhilitan pantau gajah liar di Kota Tinggi

Gangguan gajah liar di Kota Tinggi menjadi perhatian dan tular di media sosial. (Gambar kecil: Salman Saaban)
A
A

KOTA TINGGI - Sebanyak 15 hingga 20 aduan mengenai gangguan gajah liar diterima oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor setiap bulan bermula dari Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, Perhilitan sentiasa menjalankan pemantauan pergerakan kumpulan gajah liar berdasarkan aduan semasa bagi mengenalpasti lokasi gajah terbabit.

Jelasnya kadar kerugian akibat gangguan gajah liar tersebut dianggarkan kira-kira RM600,000 direkodkan terutama membabitkan tanaman kelapa sawit dan infrastruktur.

Katanya, kawasan penempatan yang selalu diserang gajah di Kota Tinggi seperti Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Temenin, Kampung Sendayan, Kampung Sedili Kechil, Kampung Sedili Besar, Bandar Sri Perani, Gugusan Felda Air Tawar 3 dan 2, Lok Heng, Waha dan sekitarnya.

"Gajah merupakan haiwan herbivor di mana makanan utama gajah adalah tumbuhan dalam bentuk serat/ fiber mendorong kepada banyak serangan gajah ke atas pokok jenis palma terutama kelapa sawit, kelapa dan sebagainya.

"Pembangunan dan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan pertanian merupakan antara punca gajah-gajah ini keluar daripada habitat asal di samping kekurangan sumber makanan di habitat asal gajah tersebut.

"Gajah merupakan haiwan yang aktif pada waktu malam di mana pada hari siang ia akan berehat dan akan keluar semula pada lewat petang untuk mencari makanan," katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Maut angkara gajah liar cuba lindungi anak

Salman menjelaskan bagi kes serangan gajah liar di daerah Kota Tinggi setakat Jun lalu, tiada kematian direkodkan.

"Terdapat satu kes kecederaan dilaporkan berlaku di Ladang Sayong, Kluang pada 2 April dan satu kes kematian diserang gajah berlaku di Kilometer 51, Jalan Kahang-Jemaluang, Mersing, 17 April lalu.

"Ada juga satu kes gajah mengejar dua pengawal keselamatan dan merosakkan motosikal dilaporkan berlaku di ladang LGM, Kota Tinggi, 24 Jun lalu," katanya.

Kelmarin, seorang pengawal keselamatan Misran Tukijo, 56, maut selepas diserang sekumpulan gajah di kawasan lombong di Simpang Perani Mawai.

Justeru, beliau meminta orang awam untuk tidak mengambil apa-apa tindakan sendiri terhadap gajah bimbing dikhuatiri tindakan yang diambil berbentuk provokasi ke atas haiwan tersebut lantas mengundang kejadian tidak diingini.

"Perhilitan akan terus menjalankan tugas pemantauan berdasarkan pergerakan gajah semasa di lokasi aduan. Aktiviti tangkap pindah gajah ke habitat baru telah dirancang.

"Selain itu, projek Santuari Gajah Johor (JES) yang akan beroperasi dalam masa terdekat dijangka memberikan impak dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah terutama di daerah Kota Tinggi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!