Maut angkara gajah liar cuba lindungi anak

Semalam, seorang pengawal keselamatan maut dipercayai diserang gajah liar ketika bertugas.
Semalam, seorang pengawal keselamatan maut dipercayai diserang gajah liar ketika bertugas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gajah liar yang dipercayai menyerang seorang pengawal keselamatan di sebuah lombong pasir di Batu 6, Simpang Perani, Mawai, Kota Tinggi, sehingga maut semalam, disyaki berbuat demikian untuk melindungi anaknya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, ini berdasarkan kesan tapak anak gajah yang ditemukan di lokasi kejadian.

“Kita mengesyaki terdapat tiga ekor gajah terlibat termasuk seekor anak gajah. Kita percaya mereka ini terpisah dari kumpulan gajah panti yang sering berjalan berkumpulan (dalam 30 hinggan 40 ekor).

"Adalah disyaki gajah naik berang dengan salakan kumpulan anjing (dalam 10 hingga 15 ekor) yang memang ada di kawasan kejadian di mana mangsa sedang tidur. Kita juga kesan tapak anak gajah yang dikesan, dipercayai gajah cuba melindungi anaknya daripada kumpulan anjing tersebut,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Salman berkata, pihaknya kini cuba mengesan dan menangkap gajah-gajah terbabit untuk dipindahkan ke lokasi lain.

“Kami juga membantu keluarga mangsa untuk membuat tuntutan Tabung Bantuan Serangan Binatang Buas bagi mengurangkan beban yang dipikul oleh keluarga mangsa,” kata beliau lagi.

Salman berkata demikian ketika diminta mengulas punca kejadian semalam dan tindakan pihak Perhilitan Johor dalam menangani kes berkenaan.

Semalam, lelaki berusia 56 tahun dipercayai diserang dua hingga tiga ekor gajah ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan pada jam 10.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Hasil siasatan di tempat kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring tidak berbaju serta berseluar hitam dengan kesan lebam pada badan disyaki diserang oleh gajah liar. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Pengawal keselamatan maut diserang gajah