Jakim kenal pasti 431 aduan, 83 pautan hina Islam di media sosial

Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) terima dan saring 42,500 mesej aduan berkaitan penghinaan terhadap Islam di media sosial sehingga 30 Jun lalu. - Foto 123RF
Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) terima dan saring 42,500 mesej aduan berkaitan penghinaan terhadap Islam di media sosial sehingga 30 Jun lalu. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit Pemantauan lsu Hina Agama, Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) menerima dan menyaring 42,500 mesej aduan berkaitan penghinaan terhadap Islam di media sosial sehingga 30 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 431 dikenal pasti sebagai aduan manakala 83 pautan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ini kerana menurutnya, bidang kuasa mengenai kesalahan menghina agama dalam media sosial terletak di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 5881].

“Di samping itu, kesalahan menghina agama Islam yang dilakukan oleh seseorang yang menganut Islam, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabi Muhammad bukan melarikan diri, kata Zulkifli

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa bekerjasama dengan pihak SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa agama negeri bagi mengekang aktiviti tidak sihat ini.

“Dalam pada itu, usaha menyampaikan kefahaman mengenai keindahan Islam kepada rakyat akan terus dipergiatkan bagi memperbetulkan banyak salah faham sekali gus meredakan kes-kes penghinaan yang mungkin berpunca daripada silap faham terhadap ajaran Islam,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu - Sabak Bernam) mengenai jumlah aduan terhadap pihak yang menghina Nabi Muhammad SAW dan langkah diambil kerajaan bagi menangani perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, Islam adalah sebuah agama nasihat yang menekankan konsep berpesan-pesan kepada kebenaran dengan penuh kesabaran.

Artikel Berkaitan: