Lelaki Bangladesh bunuh rakan serumah dihukum gantung

Seorang lelaki warga Bangladesh Mohammad Jobi Ullah, 40, dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan serumahnya, dua tahun lalu. - Foto Bernama
Seorang lelaki warga Bangladesh Mohammad Jobi Ullah, 40, dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan serumahnya, dua tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga Bangladesh terpaksa menamatkan riwayat hidupnya dengan hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman itu selepas dia didapati bersalah membunuh rakan serumah dua tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati Mohammad Jobi Ullah, 40, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes.

Semasa di dalam kandang tertuduh, Mohamad Jobi kelihatan gelisah dan kerap kali bertanyakan maksud yang dituturkan oleh hakim kepada jurubahasa mahkamah yang berada di sebelahnya.

Sebaik mendapat tahu keputusan, tertuduh kelihatan sangat kecewa dan hanya menundukkan kepalanya.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Jobi yang juga seorang buruh itu didakwa membunuh rakan senegaranya Minto, 40, di Jalan Megat Harun, Taman Jasa, Bukit Mertajam pada jam 11.15 pagi, 25 Mac 2018 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi pendakwaan telah dipanggil dan hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala tertuduh diwakili peguam K Thanges. - Bernama

Artikel Berkaitan: