Rumah mampu milik atau mampu tengok?

Razlan Rafii
Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - Umno Seputeh mendakwa rakyat di Wilayah Persekutuan ditindas berhubung isu rumah mampu milik apabila projek pembangunan rumah mampu milik yang diusahakan berharga lebih RM300,000.

Naib Ketua Umno Seputeh, Razlan Rafii berkata, kos bagi memiliki rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan itu jelas berbeza jika dibandingkan sewaktu zaman pemerintahan BN yang berharga kurang daripada RM300,000.

"Adakah Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Abdul Samad) menyebelahi pemaju DAP apabila mahu melaksanakan pembangunan rumah mampu milik dengan harga bermula RM300,000?

"Ahli Parlimen DAP yang merah mata melihat pembangunan yang dibuat semasa zaman BN dengan harga di bawah RM300,000 telah berjaya meyakinkan Khalid Samad untuk melaksanakan Pembangunan Rumah Mampu Milik di atas harga RM300,000.

"Rakyat ibu kota sekali lagi akan ditindas oleh kerajaan PH apabila melakukan pembangunan yang dikatakan mampu milik namun yang sebenarnya akan menjadi mampu tengok.

"Semasa zaman BN, semua rumah mampu milik di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dijual dengan harga bawah RM300,000 malah ada banyak yang berharga dibawah RM198,000," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan dan diperkenalkan cukai perkhidmatan dan jualan (SST) oleh kerajaan PH, sepatutnya Khalid boleh melaksanakan pembangunan rumah mampu milik dengan harga lebih murah.

Namun apa yang rakyat ibu kota terima, menurut Razlan, adalah peningkatan terus harga rumah malah kos sara hidup juga terlalu tinggi bertentangan dengan apa yang selalu dijanjikan kerajaan PH tentang pengurangan kos sara hidup, malah sekarang mereka lebih bersikap kapitalis yang mencekik darah rakyat golongan B40.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu, di belakang Khalid ada Ahli Parlimen DAP yang rakus mahu merebut kekayaan ibu kota, sekiranya tidak kenapa harga rumah ini boleh lebih tinggi daripada zaman BN.

"Kerakusan memerah darah rakyat B40 sepatutnya tidak terjadi apabila kerajaan PH sering kali melaungkan mahu memgurangkan kos sara hidup.

"Khalid juga berkata beliau merancang pembangunan semula flat empat tingkat, saya nak maklumkan pada beliau bahawa beliau boleh melawat Flat Kerinchi yang sudah siap didiami, di mana pada satu ketika dahulu PH memainkan politik ganas mengekang pembangunan flat ini," katanya

ARTIKEL BERKAITAN:KWP bakal bangun 10,000 unit rumah mampu milik

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, projek Residensi Wilayah merupakan penambahbaikan projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang akan memberi lebih keselesaan kepada penduduknya

Beliau berkata, Residensi Wilayah akan berkeluasan 900 kaki per segi dengan kepadatan penduduk 800 setiap ekar berbanding Rumawip yang berkeluasan 800 kaki per segi dengan kepadatan 1,200 orang seekar, pada harga tidak melebihi RM300,000 seunit.