KWP bakal bangun 10,000 unit rumah mampu milik

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan akan membangunkan projek rumah mampu milik, Residensi Wilayah, di Kuala Lumpur bermula tahun ini dengan sasaran 10,000 unit dibina dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Residensi Wilayah merupakan penambahbaikan projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang akan memberi lebih keselesaan kepada penduduknya.

Beliau berkata, Residensi Wilayah akan berkeluasan 900 kaki per segi dengan kepadatan penduduk 800 setiap ekar berbanding Rumawip yang berkeluasan 800 kaki per segi dengan kepadatan 1,200 orang seekar, pada harga tidak melebihi RM300,000 seunit.

"Pembangunan projek ini akan melibatkan kerjasama dengan pihak swasta dengan insentif dalam bentuk caj pembangunan dan premium yang rendah,” katanya, sambil menambah kementerian juga sedang mengenal pasti tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk pembangunan projek berkenaan.

Dalam sidang media di sini hari ini bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 yang akan disambut pada 1 Februari, Khalid berkata ia merupakan satu daripada enam paksi utama di bawah paksi sosioekonomi mapan yang akan dilaksanakan sebagai dasar dan hala tuju di bawah program Wawasan Wilayah Persekutuan 2019.

Beliau berkata, wawasan “Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi” yang akan dilancarkan pada 28 Januari, akan memfokuskan enam paksi utama iaitu bandar raya yang bersih; keselamatan awam; pengangkutan awam yang cekap; dasar sosioekonomi mapan; persekitaran hijau dan komuniti inklusif.

Khalid berkata, kementerian juga merancang untuk menyediakan ‘Bus Medic’ dan pusat tuisyen percuma di pusat pembacaan bagi setiap perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta program ikon remaja.

Bagi pemuliharaan persekitaran hijau, kementerian akan memperhebat penggunaan bahan biodegradasi dan pendekatan usaha sama bagi perkongsian persendirian awam untuk penjagaan taman-taman awam, katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi bandar raya bersih pula, pelbagai kempen akan dianjurkan kementerian untuk menanam kesedaran dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan mengenai soal kebersihan dan tidak hanya bergantung kepada kerja-kerja pembersihan oleh pihak berkuasa tempatan semata-mata, katanya.

Bagi keselamatan awam, Khalid berkata kementerian akan menambah lampu pencahayaan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sesuai dan mengetatkan soal pematuhan pelan pembangunan bagi menjamin keselamatan orang awam.

“Kita juga akan berusaha untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih baik yang mampu membawa pengguna dari first mile iaitu dari rumah ke stesen dan last mile dari stesen ke tempat kerja bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian serta pengurusan tempat letak kereta awam yang lebih baik,” katanya.

Mengenai komuniti inklusif katanya, kementerian telah menubuhkan Majlis Menteri di mana kesemua Ahli Parlimen Kuala Lumpur akan bermesyuarat empat kali seminggu bersama beliau dan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam merangka pelan dan pembangunan di ibu kota.

Beberapa projek lain juga akan dilaksana kementerian pada tahun ini termasuk pembinaan monorel di Putrajaya, pengambilalihan pengurusan sisa pepejal daripada SWCorp, mewartakan taman persekutuan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan permohonan cadangan (RFP) bagi pembinaan Jambatan dan Terminal Feri yang baru di Labuan dan menghidupkan semula Halal Hub di Labuan. - Bernama