KKM terus kesan kontak rapat Kluster Sentosa

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan kes pengesanan aktif dan kontak rapat koronavirus (Covid-19) melibatkan Kluster Sentosa di Kuching, Sarawak bagi mengelakkan peningkatan kes virus berkenaan di negeri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat 18 Julai hingga semalam, KKM mengesan 680 individu yang merupakan kontak dalam kluster berkenaan dan daripada jumlah itu 21 kes positif, 587 kes negatif manakala 72 masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

“Daripada 21 kes (positif) itu, 16 kes merupakan dalam kalangan anggota KKM, dua anggota perkhidmatan sokongan daripada syarikat yang mengurus kemudahan di hospital itu, satu pesakit dan dua lagi kontak rapat atau ahli keluarga kepada kes positif,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarawak tingkat ujian rawak Kluster Sentosa

Kuching dikategori zon merah, Hospital Sentosa ditutup

Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu mengenai pelan KKM untuk menangani isu peningkatan kes Covid-19 di Kuching terutamanya dalam kluster Sentosa yang melibatkan kakitangan hospital kerajaan dan barisan hadapan.

Selain itu, Chieng Jen juga ingin tahu apakah langkah tambahan diambil KKM untuk melindungi dan menjaga kebajikan setiap pekerja kesihatan, pesakit dan orang awam di persekitaran hospital itu dan apakah langkah tambahan untuk membendung penularan wabak Covid-19 di Kuching serta membantu semua peniaga yang terjejas akibat pandemik itu.

Dr Adham berkata, antara langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan KKM untuk melindungi setiap golongan itu ialah semua pesakit dan petugas Hospital Sentosa yang positif Covid-19 diasing dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Semua kontak rapat kepada anggota KKM dan pesakit yang positif Covid-19 dikuarantin di stesen kuarantin yang dikenal pasti dan KKM juga akan beri penekanan terhadap aktiviti pencegahan dan pengurusan jangkitan Covid-19,” katanya sambil menambah kementerian turut menjalankan ujian saringan mental kepada semua pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka.

Menurutnya, KKM juga membuat mobilisasi pegawai dari seluruh negeri Sarawak bagi menggantikan petugas-petugas Hospital Sentosa yang sedang dirawat dan dikuarantin.

“KKM Putrajaya juga memobilisasikan pasukan bantuan penasihat teknikal ke Sarawak untuk meninjau dan membantu memberikan pandangan mengenai penularan serta pengurusan jangkitan Covid-19 di sana,” katanya.

Bagi membantu peniaga yang terjejas, Dr Adham berkata, KKM telah menjalankan pendekatan bersasar untuk menyaring dan mengesan kes secara aktif termasuk di pasar dan premis berdekatan Hospital Sentosa.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, projek pembinaan klinik kesihatan di Kampung Semop, Pulau Bruit, Sarawak akan ditender semula selepas ia gagal mendapat persetujuan kontraktor pada Februari 2017 dan Julai 2018 antaranya disebabkan sebut harga yang terlalu tinggi.

"Bagaimanapun, tender ketiga berkenaan projek pembinaan klinik kesihatan jenis enam itu akan diiklankan pada minggu pertama Ogos ini dan berharap ia dapat diteruskan demi memastikan rakyat di kawasan itu dapat menikmati kemudahan kesihatan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu bilakah klinik kesihatan itu akan dibina kerana tiada kemudahan kesihatan yang berdekatan. - Bernama