X

Kindly register in order to view this article
!

Tolong hormati kontrak

Kedah antara pasukan pilihan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 musim ini.
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) diminta menghormati kontrak pemain, jurulatih dan pegawai sebelum mengambil sebarang pendekatan dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji skuad Lang Merah itu yang berlarutan hampir lima bulan.

Menurut jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, setiap perjanjian yang dilakukan KFA dengan pemain, jurulatih dan pegawai seharusnya dihormati walaupun pengurusan persatuan dibelenggu kemelut kewangan.

“Bab gaji pemain, jurulatih dan pegawai ini termaktub dalam kontrak, jadi persatuan tidak bolehlah sewenang-wenangnya melakukan pemotongan gaji golongan tersebut, sebaliknya perlu tunggu sehingga penghujung musim.

“Apabila persatuan itu sudah menandatangani kontrak dengan pemain, ia secara tidak langsung melibatkan aspek undang-undang termasuk sekali gus melibatkan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Sekiranya perjanjian dalam kontrak dengan pemain mensyaratkan persatuan membayar gaji RM120,000 sebulan, maka persatuan perlulah menghormati kontrak berkenaan dengan menunaikan tanggungjawab berkenaan.

“Tidak ada alasan untuk pihak persatuan memotong gaji pemain, jurulatih serta pegawai pasukan hanya kerana disebabkan ketidakmampuan persatuan menjelaskan pembayaran gaji berkenaan.

“Kecualilah dalam situasi tertentu seperti pandemik Covid-19 yang menyebabkan saingan liga terpaksa ditangguhkan, namun masih perlu mendapat persetujuan dalam kalangan pemain, jurulatih dan pegawai sebelum dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Mohd Azraai memberitahu, tidak menjadi halangan untuk KFA menggunakan khidmat pemain dalam anggaran bajet persatuan sekitar RM20,000 sebulan, namun perkara itu perlu dimulakan pada musim depan.

“Berdasarkan pengalaman saya bergelumang dengan bola sepak Kedah, KFA tidak akan berdepan masalah mencari pemain dalam lingkungan bayaran berkenaan kerana Kedah mempunyai ramai ‘ubi muda’ di setiap daerah.

“Saya amat mengalu-alukan sekiranya KFA mengambil pendekatan menggunakan ‘ubi muda’ dalam memperkasakan kesinambungan bola sepak negeri Kedah dalam jangka panjang.

“Saya dulu masa bawa Kedah julang double treble pun menggunakan produk ‘ubi muda’ dalam kalangan pemain Piala Belia dan Piala Presiden yang kita develop secara berperingkat sebelum itu.

“Bila kita julang gelaran double treble ketika itu (2007 dan 2008) sekitar 80 hingga ke 90 peratus pemain Hijau Kuning adalah dalam kalangan anak-anak Kedah, gaji masa itu pun dalam sekitar RM4,000 hingga RM5,000,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!