Pesta kad merah warnai emas bola sepak Indonesia

Suasana panas melibatkan pegawai dan pemain Indonesia serta Thailand dalam aksi final di Phnom Penh pada Selasa. - Foto AFP.
Suasana panas melibatkan pegawai dan pemain Indonesia serta Thailand dalam aksi final di Phnom Penh pada Selasa. - Foto AFP.
A
A
A

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia meraih ibu emas Sukan SEA Kemboja setelah menewaskan Thailand 5-2 pada aksi final yang diwarnai suasana tegang di Stadium Olimpik, Phnom Penh sebentar tadi.

Pesta kad merah mewarnai perlawanan yang berlarutan sehingga ke masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar permainan.

Pada aksi itu, Indonesia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ramadhan Sananta pada minit ke-21.

Jaringan itu menyuntik semangat para pemain Sang Garuda untuk menggandakan asakan dan ia membuahkan hasil apabila Sananta sekali lagi meledak pada masa tambahan babak pertama.

Bersambung babak kedua para pemain Thailand menyusun semula gerak dan strategi mereka menjadi apabila Anan Yotsangwan menanduk masuk bola pada minit ke-65 untuk merapatkan jurang gol.

Ketika menuju ke penghujung aksi berlaku salah faham dalam kalangan pegawai Indonesia apabila menyangka perlawanan sudah berakhir dan mereka berlari ke padang bagi meraikan kemenangan.

Bagaimanapun pengadil perlawanan mengarahkan mereka keluar dari padang untuk menyambung semula aksi.

Sananta (depan) meledak dua gol ketika membantu Indonesia meraih pingat emas selepas menundukkan Thailand 5-2 pada aksi final bola sepak Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh pada Selasa. - Foto Facebook PSSI.
Sananta (depan) meledak dua gol ketika membantu Indonesia meraih pingat emas selepas menundukkan Thailand 5-2 pada aksi final bola sepak Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh pada Selasa. - Foto Facebook PSSI.

Pada ketika itu kelekaan pemain Indonesia membawa padah apabila Thailand menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Yosakorn Burapha untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Selepas Sang Garuda memperoleh gol ketiga menerusi Irfan Jauhari pada awal minit masa tambahan pesta kad merah bagi kedua-dua pasukan bermula.

Pemain Indonesia, Komang Teguh dilayangkan kad merah bersama penjaga gol Thailand, Soponwit.

Insiden tidak berakhir di situ, malah turut 'berjangkit' ke tepi padang melibatkan pergaduhan pegawai kedua-dua pasukan sehingga mengakibatkan kecederaan seorang staf Indonesia.

Akibatnya dua pegawai pasukan Thailand dan seorang staf dari Indonesia turut dilayangkan kad merah.

Ketika Thailand memburu gol penyamaan, tindakan kurang bijak Jonathan Khemdee yang menghalang gerakan pemain Sang Garuda mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning kedua.

Di sebalik keghairahan Thailand menyerang, kelekaan benteng pertahanan mereka sekali lagi dihukum oleh Fajar Fatul Rahman apabila menyumbat gol keempat pada minit ke-108.

Skuad Gajah Perang yang cuba bangkit pada minit-minit akhir perlawanan sekali lagi dijerat oleh Sang Garuda yang melengkapkan kemenangan 5-2 menerusi jaringan Beckam Putra di penghujung masa tambahan.