Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh sungai

A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila terjatuh dari jambatan di Sungai Sabak di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.47 malam tadi.

Menurutnya, seramai 21 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kami mendapat maklumat daripada polis yang memaklumkan abang mangsa mengesyaki adiknya berusia 37 tahun terjatuh ke Sungai Sabak," katanya.

Hafisham berkata, melalui pemantauan bomba mendapati terdapat sebuah motosikal di atas jambatan dipercayai milik mangsa.

"Setakat ini tiada mana-mana saksi yang nampak mangsa terjatuh ke dalam sungai tersebut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat tersebut, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan pada jam 8.30 pagi tadi.

"Pihak bomba menggunakan sebuah bot bagi mengesan dan mencari mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditamatkan pada jam 6 petang tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijangka akan diteruskan esok," katanya.