X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh pusat pertumbuhan diberi penekanan dalam DRT MBSA 2035

Amirudin (tiga dari kiri) melancarkan aplikasi i-Publisiti dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak tujuh pusat pertumbuhan dikenalpasti sebagai lokasi pembangunan yang perlu diberi penekanan menerusi Deraf Rancangan Tempatan (DRT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2035 (Penggantian).

Datuk Bandar MBSA, Datuk Haris Kasim berkata, lokasi-lokasi yang dikenalpasti itu perlu diberi penekanan mengikut fungsi dan karekter pusat pertumbuhan.

Beliau berkata, antara kawasan-kawasan terlibat adalah Pusat Bandar Shah Alam, Seksyen 13, I-City Seksyen 7, Setia Alam, Kwasa Damansara, Elmina dan Alam Impian.

"Setiap pusat pertumbuhan ini mempunyai karekter yang menentukan imej kepada kawasan tersebut.

"Contohnya, Pusat Bandar Shah Alam mempunyai karekter terdiri daripada pusat pentadbiran, rekreasi, hub pengangkutan, kediaman dan perniagaan yang berfungsi serta berimejkan sebagai pusat pentadbiran dalam taman," katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi DRT MBSA 2035 (Penggantian) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini.

DRT MBSA 2035 (Penggantian) ini disediakan bagi menggantikan rancangan tempatan sedia ada dengan terbahagi kepada empat tema utama iaitu Pertumbuhan Ekonomi dan Pembangunan Sumber Manusia Yang Maju dan Berdaya Tahan; Pembangunan Guna Tanah dan Fizikal Yang Seimbang dan Lestari; Peningkatan Kualiti Hidup Masyarakat; dan Urus Tadbir Yang Cekap dan Berdaya Laksana.

Hadir sama bagi menyempurnakan majlis perasmian berkenaan adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Haris berkata, orang ramai yang ingin mengemukakan cadangan atau maklum balas boleh berbuat demikian bermula 27 Julai sehingga 26 Ogos menerusi pameran DRT MBSA 2035 yang diadakan di beberapa lokasi.

"Selain itu, MBSA turut mengambil langkah menyediakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam secara atas talian menggunakan aplikasi i-Publisiti," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, masyarakat, komuniti dan pihak berkepentingan agar dapat mengemukakan cadangan atau bantahan masing-masing dalam tempoh sebulan DRT MBSA 2035 ini dilancarkan.

Katanya, melalui DRT MBSA 2035 ini, beliau berharap pembangunan di Shah Alam akan lebih tersusun menerusi deraf rancangan berkenaan.

"Terdapat beberapa lokaliti perlu pembangunan lebih rancak dan ada kawasan yang memerlukan perancangan pembangunan lebih teliti," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!