JPJ kutip lebih RM8.5 bilion hasil bukan cukai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sejumlah RM8.5 bilion melalui sumber hasil bukan cukai pada tahun 2019 dan 2018.

Memberikan angka terperinci, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4,317,189,192.16 merupakan hasil kutipan pada tahun lepas manakala RM4,233,171,543.31 pada 2018.

“Hasil kutipan bagi kedua-dua tahun berkenaan melalui saluran di kaunter fizikal JPJ adalah sebanyak RM5,028,984,496.37 bersamaan 58.82 peratus dan pada masa ini perkhidmatan kaunter fizikal JPJ melibatkan 15 JPJ negeri, 65 JPJ cawangan dan 19 JPJ UTC (Pusat Transformasi Bandar),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang ingin tahu jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada 2018 dan 2019 serta jumlah hasil yang dipungut melalui kaunter fizikal JPJ, saluran dalam talian (online) MySikap JPJ dan saluran dalam talian syarikat swasta.

Mengulas lanjut, Wee berkata kesemua jumlah berkenaan dikutip daripada hasil bukan cukai sahaja seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda (saman).

Pada masa ini, perkhidmatan kaunter fizikal JPJ disediakan di 15 JPJ negeri, 65 JPJ cawangan dan 19 JPJ UTC manakala saluran Online MySikap JPJ melibatkan perkhidmatan di kiosk, portal JPJ dan perkhidmatan bidaan dalam talian atau JPJ e-BID.

“Dalam tempoh sama, sejumlah RM329,359,953.44 bersamaan 3.8 peratus dikutip menerusi saluran online MySikap JPJ dan sejumlah RM3,192,016,285.17 bersamaan 37.33 peratus dikutip menerusi saluran online oleh pihak syarikat swasta,” katanya.

Wee berkata, perkhidmatan yang disediakan menerusi saluran online syarikat swasta termasuk saluran perkhidmatan e-Khidmat (myEG), Pos Malaysia Berhad, Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer), Touch ’N’ Go, e-Payment, e-Daftar, fi konsesi Puspakom dan perbankan internet.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan tambahan Loke sama ada kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau memberi diskaun LKM dalam Belanjawan 2021 kepada setiap pengguna susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Wee berkata:

“Kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara itu. Kita kena lihat kemampuan kewangan kita, Itu sesuatu perkara yang perlu diteliti sebelum membuat keputusan muktamad.” - Bernama