Mesyuarat tak bincang isu agihan kerusi DUN Johor

Hasni (kiri) dan Abdullah ( kanan) bergambar sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau Muafakat Nasional Johor di Iskandar Puteri di sini hari ini.
Hasni (kiri) dan Abdullah ( kanan) bergambar sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau Muafakat Nasional Johor di Iskandar Puteri di sini hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiada agihan kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor dibincangkan dalam mesyuarat pertama Jawantankuasa Pemantau Muafakat Nasional negeri antara UMNO dan Pas, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, tiada arahan diberikan di peringkat pusat untuk kepimpinan negeri berbincang mengenai pembahagian kerusi DUN Johor dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15).

"Kita di peringkat negeri, harus selari dengan keputusan di peringkat nasional, jadi pada waktu ini kita tiada arahan untuk membincangkan agihan kerusi.

"Hari ini hanya mesyuarat jawatankuasa pemantau dilaksanakan bagi memastikan kerjasama UMNO dan Pas diperkukuhkan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau Muafakat Nasional di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menteri Besar Johor itu berkata, jawatankuasa pemantau yang akan mengadakan mesyuarat setiap bulan ini yang dianggotai 12 pemimpin kedua-dua parti yang dipengerusikan secara bergilir oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pesuruhjaya Pas negeri.

"Jawatankuasa pemantau di peringkat negeri ini ditubuhkan sebagaimana yang terdapat dalam Piagam Muafakat Nasional.

"Di peringkat negeri, jawatankuasa pemantau ini akan membincangkan dan melaksanakan program di peringkat bahagian dan kawasan bagi mengukuhkan lagi kerjasama UMNO dan Pas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Abdullah Husin berkata, Pas akan memberi komitmen penuh terhadap Jawatankuasa Pemantau Muafakat Nasional dalam memperkukuhkan kerjasama dengan UMNO di Johor.

"Pas dan UMNO akan lebih kerap berjumpa selepas ini bagi memastikan kelangsungan Muafakat Nasional dalam pemerintahan di negeri ini," kata beliau.