Covid-19: Polis Kelantan tunggu arahan untuk laksana PKP

Hasanuddin (kiri) mengucapkan tahniah kepada pegawai yang menerima surat penghargaan.
Hasanuddin (kiri) mengucapkan tahniah kepada pegawai yang menerima surat penghargaan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan sentiasa bersedia untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya menerima arahan daripada pihak kerajaan ekoran peningkatan kes penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bukan itu sahaja kawalan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Bukit Bunga di Jeli sentiasa diperketatkan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.

"Kita kekang penularan wabak itu menerusi Op Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas hasrat Kerajaan untuk tidak teragak-agak menguatkuasakan semula PKP sekiranya kes positif baharu jangkitan Covid-19 dalam negara mencecah tiga angka.

Terdahulu beliau mengadakan Lawatan Kerja Ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini hari ini.

Sempena lawatan tersebut, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai dan anggota yang telah berkhidmat dengan cemerlang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata, indeks jenayah Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 25.1 peratus sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, pencapaian tersebut melepasi sasaran asal iaitu penurunan sebanyak 10 peratus sahaja.

"Semua ini hasil kerjasama erat seluruh pegawai dan anggota polis Kelantan. Saya harap momentum ini dapat terus dikekalkan pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: