Pengguna di Gombak berdepan gangguan air

Beberapa kawasan di Wilayah Gombak bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual
Beberapa kawasan di Wilayah Gombak bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa kawasan di Wilayah Gombak bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di Rumah Pam Melawati, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, susulan kejadian itu, sistem rumah pam berkenaan terpaksa dihenti tugas pada jam 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata, sehingga jam 1 tengah hari tadi, Air Selangor masih giat membaiki paip pecah dan sistem rumah pam tersebut.

"Berikutan insiden ini, beberapa kawasan di Wilayah Gombak mengalami gangguan air tidak berjadual," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Taman Melawati; Kemensah Risidensi; Saujana Melawati; Sunway Kayangan; Sunway Melawati; Tiara Kemensah; Tropika Kemensah; Twin Palm Kemensah dan Ukay Prima.

Selain itu, kawasan lain yang dilaporkan terjejas adalah Bukit Melawati; Nadayu Melawati, Amber Hill; Kampung Klang Gate; 203 Melawati, Zoo Negara dan Kemensah Heighs.

Mengulas lanjut, Elina berkata, bantuan air menerusi lori-lori tangki ke kawasan terjejas akan digerakkan bagi membantu pengguna terlibat.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari masa ke masa menerusi media massa dan semua medium komunikasi kami," katanya.

Artikel Berkaitan: