X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Pas mahu calon Melayu di Parlimen Seremban

Khairul Yazman (tiga dari kiri) dan Zool Amali (tengah) bergambar selepas Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Seremban hari ini.
A
A

SEREMBAN - Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan hari ini sebulat suara menyatakan sokongan agar Parlimen Seremban meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Pemudanya, Khairul Yazman Yahya berkata, pada PRU lalu Pas pernah meletakkan calon mereka bertanding di kerusi tersebut dan berjaya memperoleh lebih 11,000 undian.

"Di kala semua calon Pas kehilangan deposit semasa bertanding pada PRU14 lalu, hanya calon Pas yang bertanding di Parlimen Seremban sahaja terselamat (tidak hilang deposit) dan berjaya memperoleh undian yang memberangsangkan.

"Kita percaya, jika pada PRU15 ini kita kekalkan calon Melayu, tidak kira sama ada daripada UMNO atau Pas, kita sangat yakin kerusi Parlimen Seremban dapat dirampas daripada DAP.

"Situasi politik semasa dan faktor demografi dalam Parlimen Seremban itu sendiri membuatkan kita yakin bahawa calon Melayu adalah paling sesuai untuk diletakkan bertanding pada PRU15 ini," katanya.

Tambahnya, mengikut pecahan pengundi, kaum Melayu adalah paling ramai iaitu 48.3 peratus, diikuti kaum Cina 36.8 peratus, India (13.5 peratus) dan selebihnya lain-lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Seremban di Markas Pas Kawasan Seremban, Jalan Pantai dekat sini hari ini.

Khairul Yazman
Khairul Yazman

Hadir sama Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussain.

Kata Khairul, pihaknya berharap melalui gabungan Perikatan Nasional ini, hasrat untuk meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi Parlimen Seremban dapat diberi keutamaan.

Sementara itu, menurut Zool Amali, pihaknya sudah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan usul tersebut pada Rabu lalu.

Katanya, pucuk pimpinan akan membuat penelitian dan mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan yang lain bagi mendapatkan kesepakatan demi kejayaan bersama.

"Kita bukan nak bergaduh, kita hanya mahu MCA berlapang dada dan memberi laluan kepada UMNO atau Pas bertanding di kerusi Parlimen Seremban, tiga penggal mereka bertanding tapi satu pun tak pernah menang," katanya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Seremban meminta MCA negeri ini memberi laluan kepada parti itu bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada PRU15, selepas peluang tiga penggal yang diberi kepada calon MCA tidak membuahkan hasil.

Terdahulu, pada PRU14 lalu, Anthony Loke Siew Fook (DAP) menang majoriti sebanyak 30,694 dengan undian 55,503 undi menewaskan calon MCA, Datuk Chong Sin Woon dengan undian sebanyak 24,809 undi manakala Pas menerima 11,506 undi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!