Hazard kurang menyengat bersama Real Madrid

Aksi Hazard bersama Real Madrid musim ini - foto : gettyimages
Aksi Hazard bersama Real Madrid musim ini - foto : gettyimages
A
A
A

Bekas pengendali bola sepak profesional Fabio Capello menyifatkan debut bintang Belgium, Eden Hazard bersama gergasi La Liga, Real Madrid dilihat agak kurang memberangsangkan setelah berhijrah dari Chelsea musim ini.

Capello berkata, Hazard dilihat seakan bergelut dengan prestasinya sendiri khususnya dengan masalah kecederaan yang dialami.

Malah menurutnya, Hazard juga dilihat terbeban apabila menyarung jersi skuad Los Blancos bagi mengharungi aksi La Liga musim ini.

“Saya melihat aksinya sudah tidak sama sebagaimana ketika dia beraksi bersama Chelsea sebelum ini; mungkin dia terbeban menyarung jersi Real Madrid.

“Dia mengalami kecederaan untuk tempoh yang lama di sini (Real Madrid) dan itu menyebabkan dia agak tenggelam.

Untuk rekod, Hazard telah membuat 14 penampilan dalam kesebelasan utama pasukan dalam 16 penampilannya pada saingan La Liga, musim ini.

Bagaimanapun, Hazard hanya mampu menjaringkan satu gol dan tiga assists sahaja setakat ini berbanding 16 gol, 15 assists dalam 37 perlawanan selain beraksi sebanyak 32 kali dalam kesebelasan utama pasukan ketika bersama Chelsea sebelum ini.

Sementara itu, Capello mengakui Hazard sebagai seorang pemain bola sepak yang hebat dan yakin pemain berkenaan akan kembali beraksi pada tahap terbaiknya pada musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Saya selalu melihat dia (Hazard) sebagai seorang pemain yang hebat. Tetapi mungkin jersi Real Madrid agak ‘berat’ baginya hingga menyebabkannya tenggelam.

“Namun, saya meramalkan, dia mampu kembali pada tahap terbaiknya musim depan,” katanya.