Pas, Bersatu mungkin tidak setuju guna logo BN

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkemungkinan tidak akan bersetuju dengan cadangan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, parti komponen dalam PN masing-masing dijangka menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, belum ada sebarang usaha mendaftarkan PN sebagai gabungan parti politik.

“Pas tidak akan mengorbankan logo parti sendiri dan begitu juga Bersatu. Saya rasa mereka akan bertanding atas logo masing-masing kerana sekarang tidak nampak usaha ke arah mendaftarkan PN.

“PH dulu pakai logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebab PH tidak didaftarkan, manakala di Sabah dan Sarawak, DAP dan parti lain guna logo sendiri,” ujarnya di sini semalam.

Berhubung mekanisme yang diambil PN dalam pembahagian kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Azizuddin berkata, tiada kriteria spesifik yang menjadi penentu sesebuah kerusi dikorbankan bagi memberi laluan kepada rakan sekutu.

Sebaliknya, menurut beliau, pembahagian kerusi dilakukan secara sama rata melalui kompromi.

“Peratusan pembahagian antara tiga komponen utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu juga susah untuk diperkatakan.

Artikel Berkaitan:

“Dilema bakal berlaku di kerusi kawasan majoriti pengundi Melayu dan kompromi pembahagian 50-50 atau sebagainya terpulang kepada pengaturan kerusi yang akan ditandingi.

“Tapi di Sarawak mungkin UMNO, Pas dan Bersatu tidak bertanding kerana kompromi dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Bagi Sabah, katanya, pembahagian kerusi memerlukan lebih banyak perkiraan kerana UMNO, Pas dan Bersatu pernah bertanding di samping terdapat parti lain yang menyokong PN di negeri tersebut.