Kenyataan berunsur kesat, seksis di Parlimen memalukan

Suhakam
Suhakam
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kesal dengan kenyataan berunsur perkauman, seksisme dan kenyataan kesat yang dibuat beberapa Ahli Parlimen di sidang Parlimen baru-baru ini.

Kenyataan diungkapkan Ahli Parlimen ini sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak boleh diterima daripada wakil yang telah dipilih oleh rakyat.

Justeru, Suhakam berpandangan sikap itu tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku.

"Walaupun kebebasan bersuara merupakan hak asasi manusia dan sesiapapun tidak boleh mencabuli hak ini dengan menggunakannya untuk mempersenda, memberi gangguan mental atau menimbulkan kacau ganggu awam.

"Sebarang ungkapan yang menjatuhkan maruah seseorang merupakan pencabulan hak asasi yang nyata.

"Ahli-ahli Parlimen seharusnya tidak menggunakan imuniti mereka sebagai lesen untuk melemparkan kata-kata berbentuk perkauman, seksis dan kesat di dalam Dewan yang dimuliakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhakam berkata, Ahli Parlimen seharusnya menghormati dan mematuhi Arahan Tersedia Dewan Rakyat.

"Suhakam menyeru supaya ahli-ahli Parlimen untuk lebih menyedari akan tanggungjawab melaksanakan tugas mereka. Adalah penting bagi pemimpin negara menunjukkan contoh yang baik dan mempraktikkan kesopanan, rasa hormat dan rendah hati dalam interaksi mereka di dalam Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada tahun 2001 bagi memasukkan gender sebagai perlindungan daripada diskriminasi," katanya.

Katanya, dengan sidang Parlimen yang disiarkan secara langsung dikhuatiri sikap sedemikian boleh menjadi ikutan dalam kalangan belia.

"Suhakam menyeru langkah-langkah segera diambil oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membuat teguran atau lebih baik bagi Ahli-ahli Parlimen menjaga sikap dan kelakuan mereka di dalam Parlimen.

"Masa yang terhad ini lebih baik dimanfaatkan untuk berbahas mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara daripada menjurus kepada serangan peribadi yang negatif," katanya.

Suhakam turut menyambut baik tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ungkapan berbentuk hasutan, perkauman atau seksis dibuat di dalam Dewan Rakyat.

"Pemimpin seharusnya mempromosikan perpaduan dan keharmonian tanpa mengira gender atau bangsa," ujarnya.