X

Kindly register in order to view this article
!

Skuad silat 'berkampung' di Perak

Megat Zulkarnain Omardin - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad pencak silat kebangsaan akan menjalani latihan intensif kira-kira dua bulan di Sungkai, Perak bermula 3 Ogos ini sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa tahun hadapan termasuk Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, latihan intensif itu bagi menyesuaikan skuad negara dengan beberapa peraturan baharu sukan berkenaan yang dijangka mula digunakan pada edisi ke-20 Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Kuching, Sarawak pada Julai 2021.

"Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Jefri Ngadirin (Pengarah Bahagian Atlet MSN), yang memahami kehendak Pesaka untuk mengadakan latihan di luar (Lembah Klang).

"Bukan kerana kita tidak yakin dengan latihan di Bukit Jalil tetapi mengambil kira penggunaan peraturan baharu ini, ia satu perkara yang cukup sukar.

"Saya sendiri yang juga penggubal kepada pertandingan silat di peringkat antarabangsa mengakui ia (peraturan baharu) mengubah 90 peratus daripada kaedah pertandingan sedia ada dan ini memerlukan satu latihan intensif,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Megat Zulkarnain berkata, ia melibatkan perubahan pemarkahan dari segi kaedah serangan dan menjatuhkan pihak lawan sepanjang tiga pusingan pertarungan sekali gus memerlukan seseorang pesilat mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap.

"Peraturan baharu ini sudah diluluskan setelah kita mengadakan perbincangan sebanyak empat kali.

"Kali terakhir perbincangan diadakan menerusi persidangan video baru-baru ini dan pada 22 Ogos ini, pegawai teknikal silat dari seluruh dunia akan mengikuti persidangan video supaya mereka melihat peraturan baharu yang akan diperkenalkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, latihan tersebut diadakan secara tertutup dan kesemua jurulatih dan pesilat kebangsaan selain pegawai teknikal Pesaka tidak dibenarkan keluar dari pusat latihan itu sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar memahami peraturan baharu itu.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!