Keputusan hadanah interim dua anak Farid Kamil, Diana Danielle 8 Ogos

Farid Kamil (kiri) dan Diana Danielle hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa bagi prosiding kes permohonan hak jagaan sementara dua anaknya.
Farid Kamil (kiri) dan Diana Danielle hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa bagi prosiding kes permohonan hak jagaan sementara dua anaknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa, menetapkan 8 Ogos depan untuk keputusan inter-parte atau dua pihak bagi permohonan hadanah interim iaitu hak penjagaan sementara dua anak pasangan pelakon, Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle.

Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa memutuskan demikian selepas kedua-dua pihak memaklumkan semua dokumen berkaitan afidavit balasan dan jawapan telah difailkan sebelum ini.

"Pada 30 Jun depan, kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan sebelum keputusan kes diketahui Ogos ini," katanya ketika prosiding sebutan kes inter-parter kali kedua.

Pada tarikh berkenaan, mahkamah akan menentukan hak jagaan sementara bagi dua anak mereka iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8, sama ada diserahkan kepada Farid Kamil atau Diana Danielle.

Semasa prosiding, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, sebagai defendan berkata, kedua-dua pihak telah memfailkan afidavit sokongan dan jawapan balasan bagi kes ini pada tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat fakta baharu telah ditimbulkan, maka kesemua afidavit yang diserahkan kepada mahkamah adalah sebanyak lima dokumen.

Sementara itu, peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Diana Danielle atau nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku pemohon turut memaklumkan pihaknya telah memfailkan afidavit berkenaan secara teratur.

"Kami setuju sekiranya mahkamah menetapkan tarikh yang sama untuk memfailkan hujahan dan keputusan," katanya.

Sementara itu, Puteri Ummi Kartini berkata, dalam prosiding lalu, mahkamah telah membenarkan Diana Danielle mendapatkan hak jagaan sementara dua kanak-kanak itu sehingga 30 Mei.

Oleh demikian, beliau memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tarikh hak jagaan sementara, sehingga keputusan inter-parte hadanah interim, diputuskan Ogos depan.

Zulfikri kemudian membenarkan permohonan Diana Danielle untuk memperoleh hadanah interim dua anaknya bermula 24 Mac hingga Ogos.

Ketika ditemui selepas prosiding, Ummi Kartini berkata, ditanya afidavit fakta baharu yang dinyatakan dalam mahkamah adalah berkaitan resit dan perbelanjaan, namun maklumat lengkap mengenai isu tersebut tidak dapat didedahkan secara terperinci.

Pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan Diana Danielle secara ex-parte melalui peguam syarienya, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff dan memperoleh perintah interim hadhanah bagi dua anaknya itu.

Pada 10 Mac lalu, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid Kamil.

Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Bagaimanapun, Farid Kamil enggan melafazkan cerai tersebut.

Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.

Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.