Kastam rampas kayu merah seludup bernilai RM4.6 juta

Johari menunjukkan antara kayu merah yang dirampas.
Johari menunjukkan antara kayu merah yang dirampas.
A
A
A

DENGKIL - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk kayu merah atau 'red sandalwood' bernilai RM4.6 juta menerusi Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang pada 17 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, cubaan sindiket terbabit dibongkar sepasukan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFD) JKDM dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM susulan penahanan sebuah kontena.

Menurutnya, pemeriksaan pada kontena terbabit mendapati sebanyak 283 batang kayu merah dianggarkan seberat 8,000 kilogram yang bernilai RM4.6 juta.

"Siasatan ke atas Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal mendapati barangan tersebut diikrarkan sebagai karburetor dan 'chamber' yang diimport dari India.

"Siasatan masih dijalankan untuk menjejaki dalang di sebalik kegiatan berkenaan termasuk menyiasat syarikat pengimport," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil di sini hari ini.

Johari (tengah) menunjukkan antara kayu merah yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil hari ini.
Johari (tengah) menunjukkan antara kayu merah yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil hari ini.

Johari berkata, kayu merah itu dipercayai diseludup masuk bagi kegunaan perubatan dan herba tradisi.

Menurutnya, kayu merah merupakan dagangan yang disyaratkan supaya pengeksport mempunyai sijil yang dikeluarkan pihak berkuasa negara pengeksport.

Artikel Berkaitan:

"Dagangan ini juga tersenarai di bawah Jadual Ketiga Kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.