X

Kindly register in order to view this article
!

Pelitup muka wajib pakai di tempat sesak mulai 1 Ogos

Pelitup muka wajib pakai di tempat sesak mulai 1 Ogos. - Foto: 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

“Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan tersebut mengambil kira penambahan kluster-kluster baharu yang telah dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, pada masa ini, peraturan tersebut hanya dikuatkuasakan bagi menaiki semua kenderaan awam seperti LRT, MRT serta bas dan di tempat sesak seperti pasar dan pasar tani.

Sementara itu, beliau berkata, spesifikasi bagi mereka yang mahu menjahit pelitup muka sendiri akan dikeluarkan oleh KKM dalam media bagi memastikan pelitup muka yang dihasilkan itu menepati syarat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kerajaan selama ini tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana memahami keadaan mereka yang berpendapatan rendah untuk membeli pelitup muka pakai buang.

“Untuk pakai buang ini, yang terbaik pakai untuk tiga jam dan tukar, jika keluarga besar tentu tanggungan besar (beli pelitup muka), jadi WHO keluarkan peraturan boleh pelitup muka biasa tetapi ada spesifikasinya,” kata beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil inisiatif membuat kawalan kendiri dan sentiasa memakai pelitup muka terutama di tempat awam, walaupun penguatkuasaan peraturan itu hanya akan bermula 1 Ogos.

Beliau turut mengingatkan bahawa dua perkara penting bagi mengelak jangkitan Covid-19 adalah dengan memakai pelitup muka dan memastikan jarak sosial.

“Sementara itu (sebelum 1 Ogos), jaga keselamatan diri dulu, ramai akan balik kampung sambut raya Haji minggu depan, saya harap patuhi setiap SOP yang ditetapkan,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP pada Isnin lalu berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan ancaman Covid-19 masih belum berakhir.

Susulan kes jangkitan wabak Covid-19 yang kembali mencatat peningkatan di peringkat global termasuk di Malaysia, beberapa negara turut mengambil keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Ini termasuk di Singapura yang pada April lepas mengambil langkah mewajibkan semua orang di republik itu memakainya apabila keluar rumah.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!