'Saya ingat abang dah keluar selamatkan diri'

Ahmad Hamizan menyelamatkan diri melalui jeriji tingkap bilik bawah rumah yang terbakar di Taman Bukit Saga awal pagi tadi. Gambar kecil: Ahmad Hamizan
Ahmad Hamizan menyelamatkan diri melalui jeriji tingkap bilik bawah rumah yang terbakar di Taman Bukit Saga awal pagi tadi. Gambar kecil: Ahmad Hamizan
A
A
A

SHAH ALAM - "Sewaktu kejadian, saya sedang tidur di bilik bawah, tiba-tiba saya terdengar bunyi kaca pecah dengan kuat." Begitulah perkongsian salah seorang mangsa kebakaran di Jalan Asahan 3, Seksyen 26/27C, Taman Bukit Saga di sini awal pagi tadi.

Menurut Ahmad Hamizan Zakaria, 25, dia kemudiannya meninjau di luar bilik selepas terdengar bunyi itu dan mendapati api sudah marak di tingkat satu rumah.

"Pada mulanya, saya ingat pencuri yang masuk, tapi bila tengok luar bilik, rupanya api sudah marak di atas.

"Saya panik dan cuba menyelamatkan diri melalui jeriji tingkap bilik tidur," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ahmad Hamizan berkata, sewaktu menyelamatkan diri, dia menyangkakan abangnya, Ahmad Zulhilmi Zakaria, 27, yang tidur di tingkat atas sudah menyelamatkan diri.

Keadaan rumah di Taman Bukit Saga yang musnah 80 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Keadaan rumah di Taman Bukit Saga yang musnah 80 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.

"Ketika itu memang saya ada terfikir tentang abang, namun saya ingat dia dah keluar sebab kebakaran bermula dari atas," katanya.

Menurutnya, adik bongsu, Ahmad Nazmi Zakaria, 21, tidak berada di rumah sewaktu kejadian kerana tidur di rumah rakannya.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa saya yang bekerja di Dubai kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya.

Tambah Ahmad Hamizan, dia hanya mengalami luka kecil dalam kejadian itu akibat terkena jeriji tingkap ketika cuba menyelamatkan diri.

Kebakaran sekitar jam 4.30 pagi itu memusnahkan 80 peratus struktur rumah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut menemui mayat seorang lelaki yang rentung di hadapan pintu bilik air di tingkat atas rumah terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat