Polis gempur premis judi

Petugas TNB dengan pengawasan anggota polis memotong bekalan elektrik di premis judi sekitar bandaraya ini pagi semalam. (Gambar kecil: Mohd Redzuan Salleh)
Petugas TNB dengan pengawasan anggota polis memotong bekalan elektrik di premis judi sekitar bandaraya ini pagi semalam. (Gambar kecil: Mohd Redzuan Salleh)
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menggempur premis judi dalam talian yang aktif sekitar daerah ini dengan melakukan pemotongan bekalan elektrik bagi menghentikan segera aktiviti berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, sebanyak 53 buah premis judi telah dilakukan pemotongan bekalan elektrik sejak Januari hingga semalam.

Menurutnya, tindakan pemotongan diambil selepas dilakukan serbuan dan tangkapan terhadap individu yang menjalankan kegiatan terbabit.

“Operasi ini dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Setar.

"Sebanyak 10 buah premis lagi dipotong bekalan elektrik dalam operasi semalam di bawah peruntukan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Redzuan berkata, operasi terbaharu itu dijalankan selama dua jam sekitar bandar raya ini pagi semalam.

“Tindakan memotong bekalan elektrik adalah salah satu langkah yang diperuntukkan undang-undang bagi memastikan kegiatan judi dapat dihentikan. Tindakan berterusan akan dibuat bagi memastikan kegiatan ini dapat dihentikan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus konsisten mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang dikesan terlibat dengan aktiviti perjudian.

Artikel Berkaitan:

“Kami turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berkaitan kegiatan ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!