Gempur kegiatan judi jangan bermusim

SKMM menjalankan kerjasama strategik bersama PDRM dalam usaha membendung kegiatan judi dalam talian. - Foto 12RF
SKMM menjalankan kerjasama strategik bersama PDRM dalam usaha membendung kegiatan judi dalam talian. - Foto 12RF
A
A
A

USAHA membasmi aktiviti perjudian haram di negara ini sukar untuk dilaksanakan, malahan makin parah dari semasa ke semasa.

Kegiatan perjudian semakin membimbangkan apabila ia bukan sahaja berlaku di ibu negara malah turut meliputi negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, keputusan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam menangani isu itu dijangka dapat membawa perkembangan positif ke arah menghapuskan aktiviti tersebut.

Pada Isnin, beliau dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memaklumkan bahawa tiada lagi amaran daripada JSJ Bukit Aman terhadap ketua polis daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian di daerah masing-masing.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.

Ujar Ayob Khan, ketua polis daerah telah menandatangani aku janji untuk memastikan tiada aktiviti perjudian haram di daerah masing-masing.

Menurutnya, beliau menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan ketua polis daerah di Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila pasukan khas JSJ Bukit Aman mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

Tambahnya, JSJ Bukit Aman telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani kegiatan jenayah terutama perjudian dalam talian.

Sebelum ini pun, pihak berkuasa pernah menyatakan kesediaan dan komitmen untuk memerangani kegiatan jenayah tertentu di negara ini.

Hasilnya, apa yang terjadi adalah pelaksanaan itu hanya bermusim, malah tidak bertahan lama.

Justeru, pihak penguat kuasa perlu memastikan inisiatif gempur menentang aktiviti perjudian ini perlu dilakukan secara berterusan dan pemantauan perlu dilakukan dengan lebih ketat.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim berpandangan bahawa keputusan Pengarah JSJ Bukit Aman untuk tidak lagi mengeluarkan amaran kepada ketua polis daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian itu merupakan langkah yang tepat dalam mengekang kegiatan tersebut.

Jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengekang aktiviti perjudian itu daripada berleluasa.

Pastinya, selain pihak polis, orang ramai juga perlu ada kesedaran berhubung isu ini, pantau dan laporkan sebarang aktiviti perjudian yang didapati berlaku di kawasan masing-masing.