Najib perlu bayar RM1.69 bilion kepada LHDN

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membayar RM1.69 bilion cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim Datuk Ahmad Bache berkata, mahkamah membenarkan permohonan saman kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Najib menerusi penghakiman terus.

Menurutnya, penghakiman terus bermakna mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh antaranya tanpa keterangan saksi.

“Mengikut seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai pendapatan tambahan perlu dibayar dan perlu dikembalikan sebagai hutang kepada kerajaan dengan jumlah sebanyak RM1,692,872,924.83.

“Kedua, hujahan pihak pembelaan adalah melibatkan fakta yang harus dirujuk atau diputuskan oleh Special Commissioner of Income Tax (SCIT),” katanya.

Ahmad berkata, mahkamah turut menganalisa dua kes yang dirujuk oleh pihak pembelaan sebelum ini namun mahkamah memutuskan ia bukan melibatkan kes pemulihan cukai.

Sebaliknya beliau berkata, kes itu telah diputuskan melalui proses rayuan di hadapan Pesuruhjaya atau SCIT.

Oleh itu katanya, pihak berkuasa tiada kaitan dengan kes pemulihan cukai berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Peguamcara Hasil LHDN, Abu Tariq Jamaludin, Nor Hisham Ahmad dan Al Hummidallah Idrus.

Sementara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Shafee dan Wee Yeong Kang mewakili Najib.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Pada 8 Ogos 2019, Najib, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN namun LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN Hisyamuddin Mohd Hassan dalam afidavit sokongannya berkata, mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan sama ada orang itu mengemukakan rayuan atau sebaliknya berhubung taksiran cukai.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.