Denda RM500 jika guna perkataan seksis, rasis di Dewan Rakyat

P Kasthuriraani
P Kasthuriraani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu Kawan (PH), P Kasthuriraani mencadangkan ahli Parlimen didenda RM500 sekiranya menggunakan perkataan seksis, rasis atau kenyataan menyinggung perasaan ketika sesi persidangan di Dewan Rakyat.

Kasthuriraani berkata, ahli Parlimen terbabit tidak layak menyimpan elaun kehadiran pada hari mereka menghina dan mencemar nama baik Dewan Rakyat apabila berbuat demikian.

Menurutnya, insiden Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengeluarkan kenyataan rasis dan seksis terhadapnya di Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu merupakan satu penghinaan terutama kepada ahli Parlimen wanita.

Abdul Azeez
Abdul Azeez

“Walaupun Datuk Speaker (Datuk Azhar Azizan@Harun) telah membuat satu ketetapan pada keesokan harinya, Selasa (14 Julai 2020) di mana Ahli Parlimen Baling diperintah untuk menarik balik dan meminta maaf.

“Namun bukan sahaja ia tidak ikhlas tetapi tiada jaminan kata-kata ‘unparliamentary’ akan digunakan di Dewan Rakyat selepas ini.

“Maka selepas semakan semula Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin mencadangkan dua pindaan kepada Peraturan Mesyuarat 36 dengan tambahan dua perkara lagi,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Menurut Kasthuriraani, tambahan dua perkara itu ialah pertama, seseorang ahli Dewan Rakyat yang menggunakan perkataan seksis, rasis atau kenyataan menyinggung perasaan sehingga menyebabkan penghinaan atau kebencian akan secara automatik dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Artikel Berkaitan:

Kedua, jika didapati bersalah akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM500 sebagai hukuman yang dibenarkan di atas kesalahan melanggar Sub-seksyen 9 (c) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Sebelum ini ramai ahli Parlimen terutama sekali ahli Parlimen wanita menjadi mangsa kepada kata-kata kesat dan ‘unparliarmentary’ yang digunakan sewenang-wenangnya oleh beberapa ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, seolah-seolah mereka ini ‘untouchable’.

“Lebih-lebih lagi apabila mereka boleh menarik balik dan memohon maaf pada masa tersebut atau pada keesokan harinya,” katanya.