Padah pindah kayu bergergaji tanpa permit

Zarin melihat kayu bergergaji jenis Merbau yang dirampas oleh pihaknya kelmarin. Foto: PHD Jerantut
Zarin melihat kayu bergergaji jenis Merbau yang dirampas oleh pihaknya kelmarin. Foto: PHD Jerantut
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori bersama pembantunya ditahan oleh Unit Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut, di Jalan Kuala Tahan-Jerantut berhampiran Sungai Retang, ketika memindahkan sebanyak 221 keping kayu bergergaji jenis merbau tanpa permit menggunakan lori enam tan, malam kelmarin.

Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, kedua-duanya berusia 42 tahun dan mereka ditahan selepas pihaknya menerima aduan dan maklumat daripada orang awam mengenai kerja-kerja pemindahan kayu berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kayu bergergaji pelbagai saiz itu dipindahkan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). Malah kayu jenis merbau berwarna kemerahan itu akan dihantar ke kilang terletak di Kuala Lumpur dipercayai untuk menghasilkan perabot dan pelbagai produk lain.

"Susulan itu, kita menahan dua lelaki terbabit yang memindahkan hasil hutan tanpa dokumen dengan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rampasan kayu bergergaji jenis merbau yang dipindahkan tanpa pas memindah itu merupakan kes pertama tahun ini dan pihaknya memandang serius kerana ia menyebabkan kerugian hasil cukai kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan: