Nenek 15 cucu didakwa miliki pil kuda

Nenek kepada 15 cucu, Sa'adiah mengaku tidak salah memiliki pil kuda di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Nenek kepada 15 cucu, Sa'adiah mengaku tidak salah memiliki pil kuda di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Seorang nenek yang mempunyai 15 orang cucu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memiliki 125 biji pil kuda.

Tertuduh, Sa'adiah Ali, 63, didakwa memiliki 125 biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 18.43 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Batangan, di sini, pada jam 1 pagi, 19 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39a (1) akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta diwajibkan sebatan tidak kurang daripada tiga hingga tidak lebih sembilan kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menetapkan sebutan kes pada 23 September depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan warga emas berkenaan dipercayai memiliki 23 rekod kesalahan mengedar air ketum.

Artikel Berkaitan: